Sukan permotoran kini diselubungi rasa duka selepas dikejutkan dengan kematian pelumba muda sensasi Sepanyol, Pau Alsina, yang maut dalam satu kemalangan tragis ketika sesi latihan di litar Motorland Aragon.
Alsina, 17 tahun, sedang membuat persiapan bagi pusingan seterusnya dalam kejohanan FIM JuniorGP apabila beliau terbabit dalam satu insiden kemalangan dahsyat yang menyebabkan dirinya tercampak dari motosikal.
Mangsa segera dikejarkan ke sebuah hospital di Zaragoza dan menjalani pembedahan kecemasan, menurut laporan media Sepanyol. Bagaimanapun, meskipun pasukan perubatan telah memberikan rawatan terbaik, nyawa Alsina tidak dapat diselamatkan. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari Isnin.
Berita pemergian Pau Alsina disahkan oleh Presiden Generalitat de Catalunya, Salvador Illa Roca menerusi satu hantaran di media sosial.
“Saya amat berdukacita atas pemergian pelumba muda Pau Alsina, salah satu harapan besar dalam dunia permotoran negara kita, dalam satu kemalangan tragik.Ucapan takziah tulus ikhlas saya tujukan kepada keluarganya, rakan-rakan serta pasukan beliau,” ungkapnya.
Menurut laporan media tempatan, jenazah Pau Alsina akan dibawa pulang ke kampung halamannya di wilayah Catalunya dalam masa terdekat.
Alsina dianggap antara bakat muda paling menjanjikan di Sepanyol dan baru sahaja menyertai saingan FIM JuniorGP pada tahun 2025 bersama pasukan Estrella Galicia.
Dalam empat pusingan pembukaan musim ini, beliau berada di kedudukan ke-13 keseluruhan dengan pencapaian terbaik di tempat kelapan ketika aksi berganda di Jerez.
Sebelum ini, Pau Alsina telah mencuri perhatian ramai selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Eropah (European Talent Cup) musim lalu bersama pasukan Artbox, yang menjadi batu loncatan kepada penyertaannya dalam siri JuniorGP.
Beliau juga dikatakan telah merancang laluan jangka panjang untuk menyertai kelas premier MotoGP dalam tempoh lima tahun akan datang.
Minat Pau terhadap perlumbaan motosikal bermula sejak usia muda dan beliau menjadikan juara dunia enam kali, Marc Marquez, serta dua lagi pelumba Catalunya, Pol dan Aleix Espargaro, sebagai idola dan sumber inspirasi dalam kariernya.
Pemergian Pau Alsina satu kehilangan besar buat dunia perlumbaan motosikal, terutamanya di Sepanyol, yang selama ini menjadi tapak lahirnya ramai pelumba bertaraf dunia.
Baca juga:


