Keseluruhan Operasi Yamaha Motor Europe dikemudi oleh Paolo Pavesio sebagai Pengarah Pemasaran & Permotoran Eropah mendapat perhatian pengurusan tertinggi Yamaha Motor Co (YMC) apabila dipilih bagi menggantikan Lin Jarvis.
Yamaha Motor Co., Ltd. (YMC) dan Yamaha Motor Racing (YMR) mengumumkan bahawa Paolo Pavesio akan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan YMR mulai 1 Januari 2025. Pavesio akan menggantikan Lin Jarvis, yang akan meletak jawatan daripada peranan utama dalam perlumbaan pada penghujung 2024 selepas tempoh 26 tahun mengetuai YMR.
Sebelum ini pada Februari di Sepang Test, Lin Jarvis sudah pun memaklumkan perkara ini namun beberapa calon masih diteliti. Ini era baru Yamaha kerana YMR beri cerminan paling depan bagi keseluruhan organisasi YMC melalui penampilan dalam MotoGP
Bekas Pengarah Pemasaran & Sukan Permotoran di Yamaha Motor Europe (YME), Paolo Pavesio berjaya mengetuai penstrukturan semula operasi YME di sekitar Pemasaran dan Sukan Permotoran selama 11 tahun bersama syarikat itu. Di bawah arahannya, Bahagian Sukan Permotoran yang disusun semula telah memperoleh gelaran Kejohanan Dunia dalam WorldSBK, EWC dan MXGP.
Lin Jarvis telah dilantik sebagai Pengarah Urusan di YMR pada tahun 1999 dan telah bertanggungjawab untuk membawa Yamaha merangkul pelbagai gelaran Kejohanan Dunia MotoGP (Pelumba – 8, Pengeluar – 6 & Berpasukan 7 kali). Jarvis akan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan pada 31 Disember 2024 tetapi akan terus menyokong YMR sebagai Penasihat Kanan.