Sesi Ujian Shakedown yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC), Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu menyaksikan pelumba utama pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo, mencatat masa terpantas dengan 1:57.794 saat, sekaligus mengungguli sesi ujian tersebut.
Kejayaan Quartararo diikuti rapat oleh dua lagi pelumba Yamaha, dengan Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP) di tempat kedua, manakala pelumba ujian Honda HRC, Aleix Espargaro, mempamerkan prestasi cemerlang pada pusingan terakhir untuk menduduki tempat ketiga pada hari terakhir sesi ujian.
Namun, apa yang lebih mengejutkan apabila pelumba muda dari Trackhouse MotoGP, Ai Ogura hanya ketinggalan 0.414 saat di belakang Quartararo untuk berada di kedudukan kelima keseluruhan.
Pelumba Jepun itu mencuri perhatian dengan prestasi konsisten sejak hari pertama, di mana beliau berada di kedudukan kedua sebelum kehadiran pelumba Yamaha dalam sesi ujian. Pada hari kedua, Ogura terus menunjukkan keunggulannya dengan mencatat masa lebih pantas berbanding Fermin Aldeguer (Gresini Racing MotoGP), dengan hanya perbezaan beberapa saat.
Ogura, juara dunia Moto2 2024, turut melakukan larian panjang dalam simulasi perlumbaan. Menariknya, masa keseluruhannya dalam 17 pusingan lebih pantas beberapa persepuluh berbanding pelumba Aprilia yang mencatatkan masa terbaik pada ujian tahun lalu.
Sementara itu, Aldeguer menamatkan sesi ujian di tempat kelima dengan hanya 0.627 saat di belakang Quartararo. Walaupun menjadi satu-satunya pelumba yang terjatuh sepanjang sesi ujian, beliau segera kembali ke trek tanpa mengalami sebarang masalah besar. Jika bukan kerana kehadiran Ogura, Aldeguer mungkin bakal menjadi bintang rookie paling menonjol dalam sesi ini.

Dalam perkembangan lain, Michele Pirro dari Ducati dilaporkan sedang menjalankan ujian bagi mempersiapkan pasukan Ducati Lenovo sebelum ketibaan Marc Marquez dan Francesco Bagnaia.
Ketika ini, para pelumba sedang berehat selama dua hari sebelum ujian rasmi bermula pada 5 hingga 7 Februari di litar yang sama. Sesi ujian rasmi ini dijangka menjadi detik yang dinantikan ramai, kerana ia bakal memberikan gambaran lebih jelas mengenai persiapan pasukan-pasukan MotoGP menjelang musim 2025.


