Nicolo Bulega berpotensi gantikan Marquez

Selepas menamatkan musim WorldSBK 2025 dengan cemerlang, pelumba Itali Nicolo Bulega disahkan bakal menjalani ujian rasmi bersama pasukan Ducati Lenovo Team di Litar Jerez, Sepanyol.

Pengurus Pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi, menjelaskan bahawa peluang ini diberikan kepada pelumba berusia 25 tahun itu bukan sekadar sebagai penghargaan atas prestasinya musim ini, tetapi juga sebagai langkah awal dalam persediaan untuk tugasan pentingnya dalam membangunkan jentera generasi baharu Ducati MotoGP pada tahun 2027.

“Kami mahu Bulega lebih yakin dan biasa dengan motosikal 1000cc kerana bermula 2026 dia akan membantu kami membangunkan jentera baharu. Jadi, membiarkannya menyesuaikan diri lebih awal adalah langkah terbaik untuk masa depan,” jelas Tardozzi.

Beliau turut menambah bahawa hasil ujian di Jerez akan menjadi penentu sama ada Bulega akan menggantikan tempat Marc Marquez bagi dua perlumbaan terakhir musim ini di Portugal dan Valencia.

“Selepas ujian itu, barulah kami akan buat keputusan. Ia sesuatu yang kami masih bincangkan bersama Bulega, tetapi kami percaya peluang ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujar Tardozzi lagi.

Bulega, yang menamatkan musim WorldSBK 2025 sebagai naib juara dunia, kini menjadi antara nama paling menyerlah dalam dunia perlumbaan dua roda. Prestasinya yang konsisten bersama pasukan Aruba.it Racing – Ducati, termasuk beberapa kemenangan podium, menjadikannya calon ideal untuk menguji jentera Ducati Desmosedici GP buat kali pertama.

Kini bersaing dalam Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) bersama pasukan Ducati Factory, Bulega sebelum ini menjuarai Kejuaraan Dunia Supersport 2023 bersama pasukan Aruba.it Racing WorldSSP Team by Feel Racing. Kejayaan itu melonjakkan reputasinya sebagai antara bakat paling menjanjikan dalam barisan pelumba Ducati, sekaligus membuka laluan ke arah karier MotoGP.

Sebelum mencapai tahap ini, Bulega membina asas kukuh dalam dunia perlumbaan sejak usia muda. Beliau pernah bersaing dalam Kejuaraan CEV Moto3 pada tahun 2014 dan 2015, di mana beliau muncul sebagai Juara Dunia Moto3 Junior 2015.

Sebelum itu lagi, Bulega menjuarai kejohanan Italian dan European MiniGP 50, serta muncul juara Itali dalam kategori PreGP 125 dan PreGP 250 membuktikan kehebatannya sejak dari peringkat akar umbi.

Dengan pengalaman luas dari pelbagai kelas perlumbaan dan disiplin berbeza, Nicolo Bulega kini bersedia untuk melangkah ke tahap seterusnya dalam kariernya mungkin bermula dengan kemunculan sulung di MotoGP, menggantikan Marc Marquez di atas jentera Ducati Lenovo Team menjelang dua pusingan terakhir musim 2025.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related