Suatu perubahan dan usaha penganjur yang harus dipuji. Itu permulaan ayat yang kami boleh katakan. Kenapa? Ini merupakan langkah bijak pihak penganjur memperkenalkan kategori baru yang mampu melahirkan pelumba mampu mengendalikan jentera ‘tank-machine’.
Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) akan beraksi di padang Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang hujung minggu ini dengan memperkenalkan satu kategori baru yang cukup penting iaitu Yamaha R15M Race Elite.
Menurut MSBK, pembentukan kelas perlumbaan baharu ini diwujudkan atas idea untuk menyediakan pelumba dengan jenis pengalaman dan pendedahan yang berbeza dalam peralihan mereka daripada mesin underbone kepada jentera bertangki.
Usaha ini bertujuan untuk mempercepatkan pengalaman pelumba muda dengan membuka laluan yang membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan teknik tunggangan yang lebih baik di atas jentera berkapasiti lebih tinggi sebelum berpotensi meningkat ke kejuaraan peringkat Asia.
Jentera Yamaha R15M ialah jentera 155cc yang telah diubah suai dengan berkesan agar sesuai dengan spesifikasi motosikal perlumbaan. Ia mudah didapati dipasaran untuk kemudahan latihan dengan permulaan harga RM15 ribu. Jadi dengan pengenalan kategori ini ia lebih mampu milik kepada pelumba diluar.
Kerjasama antara penganjur dan pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) selari dengan matlamat MSBK selama ini adalah untuk membangunkan sukan permotoran dan menyediakan platform terbaik bagi perlumbaan motosikal di Malaysia.
Kategori perlumbaan ini menampilkan 32 pelumba secara keseluruhannya yang telah dipilih sendiri daripada pelbagai kategori perlumbaan dalam kejohanan motosikal negara iaitu PETRONAS Malaysian Cub Prix Championship (MCP).
Barisan 32 pelumba ini adalah cukup berbakat dan kesempatan ini perlu diambil secara total oleh semua pihak yang terlibat. Kudos !