MSBK kembali semula Mei ini

Musim 2025 bagi Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) akan membuka tirainya secara rasmi bermula pada bulan Mei dengan kalendar empat pusingan yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Kerjasama strategik antara PETRONAS SIC dan Two Wheels Motor Racing Sdn. Bhd. (TWMR) akan diteruskan bagi mentransformasikan serta meningkatkan standard kejuaraan perlumbaan motosikal bagi pelumba profesional dan peminat sukan permotoran.

Pengarah Promosi TWMR, Ron Hogg, berkata, musim ini bakal menyajikan sedikit kelainan dengan penyertaan antarabangsa terbesar semenjak berlangsungnya kejohanan ini.

“Musim 2024 merupakan musim yang penuh dengan pencapaian, terutamanya dengan penyertaan kira-kira 15 kewarganegaraan, menjadikannya jumlah penyertaan antarabangsa terbesar sejak kejohanan ini dimulakan.

“Tambahan pula, kami menyaksikan pengenalan siri perlumbaan satu model baharu, Yamaha R15M Race Elites, yang berlangsung musim penuh (full season) bermula dari Pusingan 2, serta penyertaan sekali sahaja dari Ducati China Panigale Cup pada Pusingan 3. Ini merupakan fasa yang sangat menarik dan pencapaian besar yang saya percaya akan mempercepatkan perkembangan kejohanan ini di peringkat global, baik dari segi pengiktirafan mahupun senarai penyertaan.

“Matlamat kami adalah untuk meluaskan jangkauan kejohanan ini. Kami ingin melihat lebih banyak kepelbagaian dalam senarai penyertaan. Selain menjadi medan ujian untuk pelumba profesional, kami berharap kejohanan ini juga akan terus menjadi platform motivasi bagi pelumba-pelumba muda yang bercita-cita tinggi,” ungkapnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif, turut mengungkapkan kegembiraanya dengan pencapaian memberangsangkan yang dicapai untuk musim ini.

“Kami berbangga dengan kemajuan yang dicapai oleh MSBK, khususnya dengan pertambahan penyertaan antarabangsa pada tahun 2024. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama kukuh kami bersama TWMR, dan kami berterima kasih atas usaha mereka dalam meningkatkan kehadiran kejuaraan ini ke peringkat global.

“MSBK telah menjadi platform penting untuk pelumba dan turut memberi impak besar kepada sektor pelancongan dengan menarik peminat ke litar bertaraf dunia. Kami teruja dengan apa yang bakal dibawakan pada musim 2025 dan yakin bahawa kerjasama ini akan terus memacu industri perlumbaan, menawarkan lebih banyak peluang kepada jenama untuk berhubung dengan sukan ini dan para penggemarnya,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi.

Musim ini dijangka bakal menyaksikan persaingan sengit di kalangan pelumba tempatan dan antarabangsa, dengan cabaran unik yang menanti di setiap pusingan. Dengan visi dan kerjasama berterusan antara PETRONAS SIC dan TWMR, MSBK 2025 dijangka menjadi salah satu musim yang paling dinanti-nantikan.

Berikut merupakan jadual penuh bagi MSBK 2025 :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related