MotoGP mengumumkan lanjutan kerjasama jangka panjangnya dengan Sportian, cabang sukan Globant, bagi memperhebat usaha membanteras cetak rompak sukan yang semakin berleluasa pada Khamis.
Sejak menjalinkan kerjasama antipembajakan dengan LALIGA, rakan pengasas Sportian, MotoGP telah mencapai kejayaan besar dalam mengesan serta menghapuskan kandungan haram di media sosial, aplikasi, VOD, enjin carian, dan laman penstriman tidak sah.
Ketua Pegawai Komersial MotoGP, Dan Rossomondo, menegaskan kepentingan kerjasama antara kedua pihak ini bakal melahirkan kandungan yang lebih berkualiti di masa hadapan.
“Globant Sportian telah menjadi rakan utama dalam melindungi kandungan kami sejak lima tahun lalu. Teknologi mereka memastikan peminat dapat menikmati MotoGP melalui penyiar rasmi yang melabur dalam pengalaman tontonan berkualiti. Cetak rompak kekal sebagai ancaman, dan kami akan terus melabur dalam teknologi antipembajakan terbaik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Perniagaan Perlindungan Kandungan di Sportian, Pablo Lo Giudice, memuji MotoGP sebagai peneraju dalam melindungi kandungan digital.
“Keupayaan kami untuk terus memperbaiki sistem walaupun jumlah cetak rompak meningkat membuktikan komitmen MotoGP dan WorldSBK dalam mengekang ancaman ini. Dengan penggunaan AI terkini, kami akan terus memperkasakan perlindungan kandungan agar sukan ini kekal selamat dan dapat diakses melalui saluran rasmi,” ungkapnya.
Kini, dengan teknologi Piracy Guard di bawah Sportian bakal menetapkan penanda aras baharu dalam industri sukan dengan penggunaan AI dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan keupayaan pengesanan serta penghapusan kandungan cetak rompak. MotoGP komited dalam memastikan hak penyiarannya dilindungi agar peminat dapat menikmati tontonan berkualiti menerusi penyiar rasmi.
Piracy Guard memainkan peranan penting dalam memantau ancaman baharu secara proaktif, selain bertindak reaktif dalam menghapuskan kandungan haram. Dalam tempoh setahun akan datang, Sportian akan memperkukuh teknologi ini dengan automasi dan analisis ramalan bagi menyesuaikan diri dengan taktik cetak rompak yang semakin kompleks.
Sistem ini telah mendapat pensijilan Google TCRP dan menjalinkan kerjasama dengan lebih 70 platform utama dunia, dengan kadar penghapusan kandungan melebihi 90%.
MotoGP terus mencatat kejayaan luar biasa apabila kehadiran penonton di litar mencecah 3 juta orang pada 2024, rekod tertinggi dalam sejarah sukan ini. Selain itu, tontonan di televisyen serta platform digital juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan. Perkongsian dengan Sportian mengukuhkan lagi komitmen MotoGP dalam memastikan sukan ini berkembang dengan perlindungan hak penyiaran yang kukuh.
Dengan kerjasama ini, MotoGP dan Sportian berada di barisan hadapan dalam memerangi cetak rompak sukan secara global, memastikan peminat di seluruh dunia dapat menikmati perlumbaan dengan kualiti terbaik tanpa gangguan siaran haram.