Motogp kini kembali dengan wajah baru menjelang musim 2025 dengan logo yang dicipta khas bagi mempamerkan identiti bertaraf global sambil membawa misi MotoGP ‘Faster. Forward. Fearless’ ke peringkat lebih tinggi.
Logo yang dicipta khas oleh syarikat terkemuka antarabangsa, Pentagram menekankan mengenai evolusi jenama MotoGP, termasuk karya seni, gerakan, jenis huruf, identiti visual dan verbal dalam logo baharu itu sambil menitik beratkan ke atas setiap elemen rekaan dengan terperinci.
Huruf “M” dalam logo MotoGP™ baharu diilhamkan oleh dua jentera yang condong rapat antara satu sama lain di litar yang juga merupakan antara karakter unik dalam sukan permotoran. Huruf “O” menggambarkan geometri roda, sementara huruf “t” mewakili penunggang di antara mereka. Manakala, Huruf “GP” melambangkan litar dan mengekalkan estetika logo yang kuat dan sporty (kesukanan).
Dengan pengumuman rasmi pada 17 November itu, Pengarah Kreatif & Rakan Kongsi Pentagram, Angus Hyland berkata beliau mengharapkan identiti dan logo yang dicipta bersama pasukannya itu dapat diterima ramai.
“Diberikan tanggungjawab untuk membentuk identiti baharu MotoGP adalah satu penghormatan terbesar. Bekerjasama dengan pasukan MotoGP dalam membentuk dan membayangkan identiti jenama ikonik ini semula merupakan satu yang begitu mengujakan dan mustahil untuk saya tidak terpengaruh dengan semangat persaingan serta orang-orang yang terlibat dalam membentuk identiti ini.
“Kami berharap peminat di seluruh dunia akan menerima wajah dan identiti baharu MotoGP ini dengan hati terbuka dalam melangkah ke bab seterusnya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pemegang Hak MotoGP Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta pula menyatakan beliau begitu teruja dengan identiti baharu yang diperkenalkan itu dan mengharapkan ianya merupakan langkah terbaik dalam memasuki era baharu.
“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan identiti baharu dan mengajak peminat di seluruh dunia untuk mengenali MotoGP yang baharu. Bekerja dengan Pentagram merupakan perjalanan dan pengalaman yang luar biasa, ianya juga membawa kepada hasil yang kami harap peminat juga akan bersetuju.
“Jenama yang baharu ini kami ingin menekankan bahawa logo baharu ini lebih daripada sekadar logo, dan MotoGP juga lebih daripada sekadar sukan. Proses ini telah mengajar kami banyak perkara tentang kedua-duanya, dan kami sangat bangga untuk mempersembahkan hasil ini kepada dunia.
“Soalan utama sepanjang kami melaksanakan identiti baharu ini adalah, ‘Apakah MotoGP?’, kami ambil dari sudut pelbagai perspektif dan arah untuk mengetahui apa yang kami mahu dan implikasikan perkara itu. Kami berharap identiti baharu ini dapat menyampaikan setiap aspek dalam fikiran kami, dari sudut kelajuan hingga ke semangat, kami mahu buktikan ini lah MotoGP sebenar,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Wajah serta reka bentuk baru ini adalah reka bentuk utama pertama sejak 2007 dan perubahan ketara daripada logo lama yang berasaskan motif bendera kotak-kotak. Reka bentuk baru yang lebih minimalis ini akan digunakan bukan sahaja untuk kejuaraan MotoGP tetapi juga untuk Moto2, Moto3, dan MotoE.