MotoGP buat ‘comeback’ di Argentina

MotoGP akan kembali ke Argentina dengan wajah baharu apabila Grand Prix Argentina dipindahkan ke lokasi ikonik di ibu negara, Buenos Aires bermula pada tahun 2027. Acara penuh berprestij ini akan berlangsung di litar bersejarah, Autódromo Oscar y Juan Gálvez yang kini sedang menjalani proses naik taraf secara menyeluruh bagi memenuhi piawaian perlumbaan antarabangsa.

Pengumuman ini disambut baik oleh peminat sukan permotoran, khususnya di benua Amerika Latin, selepas pengesahan bahawa Argentina hanya akan berehat selama satu musim (2026) sebelum kembali menjadi tuan rumah kepada sukan dua roda paling mendebarkan di dunia.

Autódromo Oscar y Juan Gálvez pernah menjadi pentas MotoGP pada era 60-an, 80-an dan 90-an, menyaksikan pelbagai detik bersejarah serta pertarungan legenda-legenda dunia. Kini, hampir tiga dekad kemudian, litar ini bakal kembali ke barisan hadapan sukan dunia dengan kerja-kerja pengubahsuaian litar, pit, paddock serta zon keselamatan yang dijadualkan bermula pada Oktober ini.

Ketua Kerajaan Bandaraya Buenos Aires, Jorge Macri, turut berkata dalam satu kenyataan:

“Kami sedang mengukuhkan kepimpinan sukan bandar kami di peringkat global. Dengan pelaburan dalam infrastruktur, keselamatan, logistik dan sambungan, kami akan menaik taraf kemudahan ini ke tahap antarabangsa. Kehadiran MotoGP membawa kemeriahan perlumbaan elit dunia dengan pelumba dan pasukan terbaik, dan bakal disaksikan secara langsung oleh lebih 150,000 penonton serta berjuta lagi di seluruh dunia,” ungkapnya.

Dalam pada itu, Presiden Grupo OSD, Orly Terranova, menyifatkan pemindahan MotoGP ke Gálvez sebagai langkah penting bukan hanya untuk dunia sukan tetapi juga untuk pembangunan bandar tersebut.

“Ia bukan sekadar acara sukan tetapi satu lonjakan besar kepada pelancongan dan ekonomi tempatan. Ramai ibu kota negara lain juga bersaing untuk menjadi tuan rumah acara ini, jadi ini adalah pencapaian yang amat bermakna bagi Buenos Aires,” ujarnya.

Dengan Buenos Aires bersedia untuk menjadi salah satu lokasi utama kalendar MotoGP bermula 2027, peminat boleh menantikan gabungan antara sejarah, inovasi dan kemeriahan perlumbaan yang pastinya menghidupkan semula semangat MotoGP di bumi Argentina.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related