Menjelang musim 2025, para pelumba MotoGP akan kembali ke litar untuk ujian IRTA yang dijadualkan berlangsung sekitar pukul 6 petang ini di Montmelo.
Dengan perubahan besar yang bakal mewarnai litar grid MotoGP dengan pelbagai perpindahan dan kontrak baru yang telah termeterai, aksi musim depan dijanjikan turut lebih menarik. Berikut merupakan senarai bagi pelumba dan pasukan yang telah disahkan secara rasmi:
KTM: Brad Binder, Pedro Acosta, Enea Bastianini & Maverick Viñales
Brad Binder dilaporkan akan terus bersama Red Bull KTM Factory Racing sehingga tahun 2026, manakala pelumba muda sensasi Pedro Acosta dinaikkan ke pasukan utama dari Red Bull GASGAS Tech3. Red Bull KTM Tech3 yang kini diberi wajah baru dibarisi oleh bekas pelumba Ducati, Enea Bastianini dan Maverick Viñales akan bergandingan setelah berpindah dari pasukan Aprilia.
Ducati: Pecco Bagnaia , Marc Marquez & Fabio Di Giannantonio
Juara Dunia 2023 dengan 11 kemenangan pada musim 2024, Pecco Bagnaia kekal bersama pasukan Ducati. Sementara itu, wajah baru yang paling mencuri tumpuan sejak pengesahan penyertaannya bersama pasukan Ducati, Marc Marquez menggalas tanggungjawab sebagai pelumba di pasukan kilang. Manakala, Fabio Di Giannantonio pula akan membawa jentera Ducati yang terkini bersama pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing Team, dan bakal bergandingan bersama Franco Morbidelli.
Aprilia: Jorge Martin & Marcho Bezzecchi
Jorge Martin, yang sebelum ini bersama Prima Pramac Racing, akan menjadi wajah baharu Aprilia Racing, menggantikan Aleix Espargaro yang baru sahaja bersara dan turut disertai oleh Marcho Bezzecchi yang juga menyertai Aprilia sebagai rakan sepasukan Martin, melengkapkan barisan baru.
Yamaha: Fabio Quartararo, Alex Rins & Prima Pramac Yamaha
Bagi pasukan Yamaha pula, Fabio Quartararo kekal sebagai pelumba utama Monster Energy Yamaha bersama Alex Rins sehingga tahun 2026. Selain itu, Yamaha turut mempunyai pasukan satelit baru dengan Prima Pramac Yamaha, yang menampilkan Miguel Oliveira dan Jack Miller sebagai barisan pelumba.
Honda: Kekal dengan beberapa pertukaran
Honda mengekalkan pelumba mereka, Joan Mir, dalam pasukan kilang, bersama Luca Marini. Johann Zarco kekal bersama mewakili HRC sehingga tahun 2025. Tempat Taka Nakagami di pasukan IDEMITSU Honda LCR diisi oleh pelumba dari Thailand, Somkiat Chantra, sementara Nakagami beralih ke projek pembangunan jentera Honda.
Gresini Racing: Pelumba Baru dan Lama
Pasukan Gresini Racing mengikat kontrak bersama Fermin Aldeguer dari Moto2 sebagai bintang masa depan mereka dan Alex Marquez pula kekal bersama pasukan ini.
Trackhouse Racing: Fernandez & Ogura
Trackhouse Racing merupakan pasukan yang berpusat di Amerika, mereka memperbaharui kontrak Raul Fernandez dan menyambut kedatangan Juara Dunia Moto2 musim ini, Ai Ogura yang sebelum ini bersama MT Helmets-Msi untuk musim 2025 dan 2026.