MotoGP 2025 bakal jadi saksi saingan sengit lima juara dunia

Kejuaraan Dunia MotoGP 2024 yang dimenangi Jorge Martin mencipta senario istimewa untuk musim 2025. Dengan gelaran terbaru yang diraih pelumba baharu Aprilia itu, kini lima Juara Dunia MotoGP bakal bersaing di atas grid, bersama 17 lagi pelumba berbakat dengan rekod cemerlang di atas kertas.

Selepas mencatat sejarah bersama Prima Pramac Racing di GP24 pada perlumbaan penutup musim lalu, Jorge Martin, atau lebih dikenali sebagai ‘Martinator,’ kini menyertai senarai eksklusif Juara Dunia MotoGP yang ada di grid semasa. Turut berada dalam senarai itu ialah Marc Marquez (juara pada tahun 2013, 2014, 2016, 2017, 2018 dan 2019 bersama Honda), Joan Mir (2020 bersama Suzuki), Fabio Quartararo (2021 bersama Yamaha), dan Pecco Bagnaia (2022 dan 2023 bersama Ducati).

Dengan pengecualian KTM, yang bakal memiliki empat pelumba berpotensi, semua pengeluar lain mempunyai sekurang-kurangnya seorang Juara Dunia MotoGP dalam pasukan mereka. Ducati akan tampil dengan ‘pasukan impian’ yang terdiri daripada Bagnaia dan Marquez, sementara Martin akan membuat debut yang dinanti-nantikan bersama Aprilia.

Manakala, Yamaha kekal dengan pelumba utama mereka dan tumpuan penuh sudah pasti diberikan kepada Quartararo, manakala Honda kekal komited kepada Mir.

Selain lima Juara Dunia MotoGP, grid kelas premier 2025 turut menampilkan lapan lagi Juara Dunia dalam kategori Kejuaraan Dunia lain. Ini bermakna, terdapat sejumlah 13 Juara Dunia yang akan beraksi di atas litar apabila musim 2025 membuka tirainya pada penghujung Februari di Thailand.

Kemasukan pelumba Jepun, Ai Ogura, sebagai Juara Dunia Moto2 terkini, mengekalkan jumlah Juara Dunia pada grid selepas pemergian Augusto Fernandez ke projek Yamaha.

Ogura menyertai senarai pelumba hebat lain yang pernah dinobatkan sebagai Juara Dunia Moto2, termasuk Johann Zarco (2015 dan 2016), Franco Morbidelli (2017), Alex Marquez (2019), Enea Bastianini (2020), Pedro Acosta (2023), serta Bagnaia (2018) dan Marc Marquez (2012).

Bukan itu sahaja, Marc Marquez, Maverick Viñales (2013), Alex Marquez (2014), Brad Binder (2016), Joan Mir (2017), Jorge Martin (2018), dan Pedro Acosta (2021) juga pernah menjadi juara di kategori kelas ringan.

Semua 13 Juara Dunia ini, bersama sembilan lagi pelumba berbakat, akan bertarung merebut gelaran Juara Dunia MotoGP yang berprestij. Persoalannya kini, siapakah yang bakal mendaki takhta dan dinobatkan sebagai Raja MotoGP pada tahun 2025?

Saksikan kehebatan pelumba ini apabila mereka kembali ke litar untuk aksi pembukaan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand tidak lama lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related