Pelbagai perpindahan dan penyusunan semula barisan pelumba telah disahkan secara rasmi menjelang musim MotoGP 2025, yang dijangka menjadi perhatian utama peminat sukan permotoran di seluruh dunia.
Musim 2024 yang terdiri daripada 20 pusingan yang dimulai dengan perlumbaan di Qatar pada 10 Mac lalu dan berakhir di Valencia pada 17 November jelas memberikan aksi yang penuh dengan debaran selain turut memukau penonton dengan aksi yang memberangsangkan.
Dominasi yang dipamerkan pasukan Ducati sepanjang musim ini, jelas membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya meraih gelaran pengeluar terbaik untuk kali kelima berturut-turut. Ducati merangkul gelaran tersebut setelah memenangi 19 daripada 20 perlumbaan dan mengumpul 722 mata.
Apa yang lebih menarik perhatian, apabila Jorge Martin dari pasukan Prima Pramac Racing mencipta kejutan musim ini selepas muncul juara dunia untuk menewaskan sandaran utama kejohanan, Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) dengan perbezaan 10 mata dalam perlumbaan terakhir yang diadakan di Valencia.
Tidak boleh dilupakan, prestasi cemerlang Marc Marquez (Gresini Racing) wajar diberikan pujian apabila beliau bangkit dengan gemilang pada musim ini dengan memenangi tiga daripada enam perlumbaan terakhir sekaligus mengukuhkan reputasinya dan membuktikan mengapa beliau layak dipilih untuk menyertai pasukan Ducati musim depan.
Dalam pada itu, nasib berbeza dialami oleh pasukan pengeluar dari Jepun, Yamaha dan Honda yang menghadapi kesukaran sepanjang musim, apabila gagal meraih sebarang kemenangan Grand Prix. Kedua-dua pasukan telah mengambil langkah drastik dengan melantik pengarah teknikal dari Eropah untuk meningkatkan prestasi pasukan mereka pada musim akan datang.
Turut berdepan nasib yang sama, KTM juga menghadapi cabaran sukar setelah gagal memenangi sebarang perlumbaan, meskipun Brad Binder dan Pedro Acosta merupakan antara pelumba terbaik bukan Ducati.
Sementara itu, perubahan besar barisan pelumba yang menanti di musim depan turut menjadi tumpuan dengan Aki Ajo dilaporkan bakal mengambil alih KTM dan barisan pelumba yang lebih kompetitif, termasuk Acosta dalam pasukan kilang dan Márquez bersama Ducati.
Antara perpindahan pelumba yang turut mencuri perhatian pada musim 2025, adalah Jorge Martin yang akan berpindah ke pasukan Aprilia dan Jack Miler yang kembali semula ke pasukan Pramac Racing bersama Yamaha.
Meskipun pelbagai perubahan berlaku, gandingan baharu Ducati, Bagnaia dan Marquez, tampil sebagai taruhan utama untuk mendominasi MotoGP 2025, dengan gabungan lapan gelaran juara yang membuktikan kehebatan mereka.
Penutupan tirai musim 2024 menandakan bermulanya era baharu MotoGP yang penuh dengan penyusunan pelumba dan strategi segar dari setiap pasukan. Musim 2025 dijangka lebih mendebarkan, dengan saingan sengit yang bakal membawa aksi penuh dramatik dan kepedasan di atas litar.