Mikihiko Kawase bertugas sebagai Pengurus Pasukan Honda HRC Castrol mulai 2027

Honda HRC Castrol mengumumkan bahawa Mikihiko Kawase akan mengambil alih peranan sebagai Pengurus Pasukan bermula musim MotoGP 2027.

Kawase, yang kini memegang jawatan Pengurus Teknikal pasukan sejak 2024, akan menggantikan Alberto Puig, yang sebelum ini telah disahkan bakal menyandang peranan baharu sebagai Penasihat Honda Racing Corporation (HRC) bermula 2027. Puig bagaimanapun akan terus membantu dan menyokong Kawase dalam tempoh peralihan tersebut.

Menurut Kawase, pelantikan tersebut merupakan satu penghormatan besar dalam kariernya.

“Saya berasa amat berbesar hati diberikan peluang untuk memimpin sebuah pasukan yang mempunyai sejarah dan kejayaan yang begitu hebat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Honda atas kepercayaan ini, serta kepada Alberto Puig yang telah menjadi mentor dan penasihat yang sangat penting kepada saya selama bertahun-tahun. Sokongan daripada kedua-dua pihak akan menjadi kunci kepada kejayaan pasukan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa musim 2027 akan menjadi detik penting dalam sejarah MotoGP apabila sukan itu memperkenalkan perubahan terbesar terhadap peraturan sejak peralihan daripada enjin dua lejang kepada empat lejang.

“Tahun 2027 akan menjadi tahun yang sangat penting buat MotoGP dengan perubahan besar terhadap peraturan dan spesifikasi teknikal. Di Honda, kami perlu terus memberikan komitmen maksimum untuk memulakan era baharu ini dengan kukuh dan kembali bersaing di kelompok hadapan,” tambahnya.

Pelantikan Kawase dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang Honda untuk mengembalikan pasukan itu ke puncak saingan MotoGP selepas beberapa musim berdepan cabaran dalam usaha mengejar pengeluar-pengeluar utama lain.

Kawase bukanlah nama asing dalam dunia perlumbaan Honda. Beliau pernah bergelar pelumba kelas ringan di Jepun ketika berusia antara 18 hingga 27 tahun sebelum menyertai Honda selepas bekerja dengan beberapa pengeluar komponen untuk membiayai karier perlumbaannya.

Beliau menyertai Honda HRC pada tahun 2012 dan memainkan peranan penting dalam projek Moto3 pengeluar Jepun itu. Sebagai Large Project Leader (LPL) bagi jentera NSF250RW, Kawase membantu Honda meraih gelaran dunia Moto3 pada tahun 2019.

Selepas itu, beliau menyertai projek MotoGP Honda dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan jentera serta hala tuju teknikal pasukan sebelum dilantik sebagai Pengurus Teknikal pada 2024.

Kini, beliau diberi tanggungjawab lebih besar untuk menerajui pasukan kilang Honda HRC dalam era baharu MotoGP yang bakal menyaksikan perubahan besar terhadap peraturan teknikal bermula musim 2027.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related