Max Quiles dominasi perlumbaan Moto3 di Portimao

Perlumbaan kedua terakhir Moto3 musim 2025 menyaksikan aksi luar biasa daripada pelumba muda Sepanyol, Max Quiles (CFMoto Gaviota Aspar Team) yang menamatkan saingan di Litar Portimao dengan kemenangan dengan aksi cemerlang.

Lebih daripada satu saat di hadapan pencabar terdekatnya. Ia sekali gus menandakan kemenangan penting dalam kariernya dan membuka peluang besar untuk menamatkan musim dalam kelompok dua teratas kejuaraan.

Rakan senegara, Angel Piqueras (QJMotor – FRINSA – MSI) menampilkan persembahan hebat apabila berjaya mengekalkan kedudukan kedua selepas pertarungan sengit dalam kelompok hadapan, sekali gus mengurangkan jurang mata penting dalam perebutan tempat kedua keseluruhan.

Sementara itu, pemenang Grand Prix Malaysia, Taiyo Furusato (Honda Team Asia) menutup podium di tempat ketiga menandakan dua podium berturut-turut buat kali pertama dalam kariernya.

Perlumbaan bermula dengan baik buat Joel Kelso (LEVELUP – MTA) yang mengambil alih pendahuluan sebaik lampu hijau dinyalakan. Namun, pelumba Australia itu berdepan saingan sengit daripada Quiles dan kumpulan utama, sebelum melakukan kesilapan kecil di selekoh kelima pada pusingan ke-10 yang membuka ruang kepada Quiles dan Piqueras untuk memintas.

Sejak itu, Quiles mula menunjukkan dominasinya dan mula meninggalkan kelompok utama dengan rentak konsisten hingga ke garisan penamat.

Piqueras cuba memberikan tekanan di pusingan-pusingan terakhir, namun Quiles terlalu jauh di hadapan, manakala Furusato berjaya mengekalkan kedudukan ketiga selepas menangkis cabaran daripada Joel Esteban (Red Bull KTM Ajo) dan pelumba muda Alvaro Carpe.

Pelumba gantian, Casey O’Gorman (Dynavolt Intact GP) turut mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan di tempat keenam yang juga merupakan satu pencapaian membanggakan bagi pelumba Ireland itu yang baru kembali ke grid.

Dengan hanya satu pusingan lagi di Valencia, pertarungan untuk tempat kedua keseluruhan kini semakin sengit antara dua pelumba Sepanyol , Piqueras dan Quiles. Siapakah yang akan menamatkan musim 2025 sebagai pelumba kedua terbaik dunia dalam kelas Moto3™? Jawapannya bakal terungkai di laman sendiri minggu hadapan.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related