Pelumba lagenda yang juga merupakan pelumba baru Ducati bagi musim 2025, Marc Marquez sekali lagi menjadi buah mulut apabila beliau menyatakan sudah berjaya mengecapi matlamat utama dalam kariernya.
Kenyataan itu dibuat sejurus selepas perlumbaan GP Thailand pada musim lalu dalam satu temubual eksklusif bersama MotoGP mengenai perancangan masa depannya selepas meninggalkan pasukan Hondanya untuk bersama pasukan Ducati musim ini.
“Matlamat utama saya adalah untuk memenangi kejuaraan dunia, dan saya telah berjaya mencapainya berkali-kali,” katanya sambil mengulas mengenai pencapaiannya meraih gelaran juara dunia sebanyak lapan kali termasuk enam di kelas utama, untuk meletakkannya sebagai salah seorang pelumba terbaik.
“Ducati adalah pasukan yang sangat kompetitif, dan saya mahu mencabar diri saya dalam persekitaran baharu. Saya mahu terus bersaing di peringkat tertinggi, tetapi pada masa yang sama, saya juga mahu menikmati perlumbaan tanpa tekanan besar seperti dahulu.
“Saya sudah capai apa yang saya mahukan. Segala kemenangan yang akan datang adalah bonus,” katanya lagi.
Selepas bertahun-tahun bersama pasukan Honda, Marquez membuat keputusan besar untuk menyertai pasukan Ducati. Perpindahan ini mencetuskan pelbagai spekulasi, tetapi Marquez menegaskan bahawa ia adalah keputusan berdasarkan keinginan sendiri untuk mencari cabaran baharu dalam kariernya.
Bagi Marquez, kemenangan dan rekod bukan lagi menjadi keutamaan utama. Malah, menurut pelumba kelahiran Sepanyol itu cabaran beraksi di atas litar adalah fokus utamanya ketika ini.
Musim ini, Gandingan antara Marquez dan Francesco Bagnaia di Ducati sudah pasti menjanjikan aksi epik sepanjang musim ini. Dengan kedua-duanya merupakan pelumba yang berbakat dan sudah mencipta sejarah dalam sukan permotoran, pasukan Ducati dijangka bakal berada dalam kedudukan terbaik untuk mendominasi musim ini.
Namun, Marquez turut menegaskan bahawa beliau tidak akan terlalu tertekan untuk mengejar gelaran, sebaliknya mahu memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlumbaan.
Musim 2025 bakal menjadi bab baharu dalam karier Marc Marquez. Walaupun beliau telah mencapai matlamat utamanya, Marquez masih bersedia untuk mencipta lebih banyak momen bersejarah di MotoGP. Tetapi, perkara utamanya adalah untuk menyesuaikan diri bersama Ducati dan jentera baharunya sebelum musim bermula.