Martin juara Sprint MotoGP Americas, penalti Acosta ubah kedudukan podium

Jorge Martin menghadiahkan kemenangan dramatik buat Aprilia Racing selepas menjuarai Perlumbaan Sprint MotoGP Grand Prix of the Americas di Texas, pagi ini.

Martin mempamerkan aksi luar biasa apabila berjaya mengejar pendahulu awal, Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo Team, sebelum melakukan gerakan berani di pusingan terakhir untuk meraih kemenangan Sprint pertamanya sejak 2024 serta kemenangan pertama bersama Aprilia.

Pelumba Sepanyol itu melintasi garisan penamat dengan kelebihan sekitar tujuh persepuluh saat di hadapan Bagnaia. Namun drama berterusan selepas perlumbaan apabila Martin terjatuh ketika melakukan wheelie meraikan kemenangan, walaupun beliau dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Dalam pada itu nasib tidak menyebelahi pelumba muda dari Sepanyol, Pedro Acosta dari Red Bull KTM Factory Racing yang pada awalnya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, tetapi segera disiasat atas pelanggaran peraturan tekanan tayar. Selepas semakan dibuat, beliau didapati menggunakan tekanan tayar di bawah had yang dibenarkan, sekali gus dikenakan penalti lapan saat selepas perlumbaan.

Hukuman itu menyebabkan Acosta jatuh ke kedudukan kelapan, manakala Enea Bastianini dari Red Bull KTM Tech3 dinaikkan ke tempat ketiga untuk melengkapkan podium Sprint. Ia merupakan podium Sprint kedua Bastianini bersama KTM dan menandakan prestasi memberangsangkan buat pelumba Itali itu sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Perlumbaan turut menyaksikan beberapa insiden penting melibatkan pelumba utama. Marc Marquez terjatuh selepas cuba memintas Fabio Di Giannantonio, menyebabkan kedua-dua pelumba tersingkir awal daripada perebutan podium. Rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi, turut gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh ketika berada dalam kelompok hadapan, manakala Joan Mir juga terjatuh di pusingan terakhir ketika cuba merebut kedudukan podium.

Keputusan Akhir Tissot Sprint – Top 9 & Mata Diperoleh

  1. Jorge Martin (Aprilia Racing) – 12 mata
  2. Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) – 9 mata
  3. Enea Bastianini (Red Bull KTM Tech3) – 7 mata
  4. Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) – 6 mata
  5. Luca Marini (Honda HRC Castrol) – 5 mata
  6. Ai Ogura (Trackhouse MotoGP Team) – 4 mata
  7. Raul Fernandez (Trackhouse MotoGP Team) – 3 mata
  8. Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) – 2 mata (selepas penalti)
  9. Johann Zarco (CASTROL Honda LCR) – 1 mata

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related