Marquez raih kemenangan ke-100 karier

BALATON PARK – Juara dunia bertahan MotoGP, Marc Marquez, terus membuktikan statusnya sebagai antara legenda sukan permotoran apabila meraih kemenangan Grand Prix ke-100 dalam karier selepas menjuarai GP Hungary di Litar Balaton Park.

Kejayaan itu bukan sahaja menamatkan penantian selama 266 hari untuk kembali menang dalam perlumbaan utama MotoGP, malah turut menghadiahkan kemenangan ke-100 buat Ducati di pentas Grand Prix.

Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak hadir dengan mudah apabila Marquez menerima tentangan sengit daripada Pedro Acosta yang terus memberi tekanan sepanjang perlumbaan sebelum pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu menamatkan saingan di tempat kedua. Seorang lagi pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Lebih manis, Marquez turut melengkapkan kemenangan berganda di Balaton Park selepas menjuarai perlumbaan Sprint pada Sabtu, sekali gus membawa pulang maksimum 37 mata daripada hujung minggu perlumbaan tersebut.

Menurut Marquez, pencapaian 100 kemenangan merupakan sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya sepanjang karier, terutama selepas berdepan pelbagai cabaran dan kecederaan sejak 2020.

“Terdapat banyak pasang surut dalam karier saya, terutamanya sejak 2020. Namun 100 kemenangan adalah satu angka yang sangat besar.

“Apabila melihat statistik pole position dan kejuaraan dunia, saya kini berada sebaris dengan beberapa nama besar dan legenda sukan ini. Saya telah mencapai lebih daripada apa yang pernah saya jangkakan dalam karier saya,” katanya.

Pelumba Sepanyol itu turut mengakui kejayaan tersebut hadir hasil kerja keras dari aspek mental selain semangat untuk terus menikmati perlumbaan selepas melalui tempoh sukar beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengulas pertarungannya dengan Acosta, Marquez menyifatkan duel itu berlangsung dalam suasana kompetitif tetapi tetap profesional walaupun kedua-dua pelumba beberapa kali bersentuhan ketika memburu kemenangan.

“Apabila seorang pejuang bertemu seorang lagi pejuang, pertarungan seperti ini pasti berlaku. Kami tahu Pedro sangat agresif dan kuat ketika membrek.

“Kami bersentuhan dua atau tiga kali, tetapi semuanya masih dalam had yang betul dan saling menghormati ruang masing-masing,” jelasnya.

Walaupun kembali merasai kemenangan, Marquez menegaskan perjalanan kebangkitannya masih belum berakhir dan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.

“Satu lagi kebangkitan, tetapi kebangkitan ini masih belum selesai. Memang kami menang, namun masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan.

“Di sini kebanyakan selekoh adalah ke kiri dan hanya terdapat tiga selekoh kanan dengan zon membrek yang kuat, jadi ia sedikit membantu keadaan saya.

“Apa yang penting, kami berjaya bangkit sekali lagi, menang dan membawa pulang 37 mata penuh,” katanya selepas merangkul kemenangan GP Hungary hujung minggu lalu.

Kemenangan di Hungary menyuntik keyakinan baharu buat Marquez ketika saingan MotoGP 2026 semakin memasuki fasa penting, dengan juara dunia itu kini dilihat semakin hampir untuk kembali berada pada tahap terbaiknya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related