Selepas menduduki tempat ke-12 keseluruhan bagi sesi latihan Grand Prix Petronas Malaysia petang tadi, Pelumba Pertamina Enduro VR46 Racing, Marco Bezzechi mengidam untuk berada dalam kelompok 5 pelumba terbaik dalam aksi yang dijadualkan esok.
Menurut M. Bezzechi, kesilapan yang dilakukan pada awal sesi bukanlah sesuatu yang besar buat dirinya dan pasukan.
“Kemalangan itu adalah kesilapan kecil dan bukanlah masalah besar untuk saya. Namun, ianya merupakan punca utama saya memiliki mata yang rendah di dalam litar. Hari ini, ianya sangat mencabar dan secara jujur saya agak berpuas hati kerana catatan kelajuan saya pada sesi latihan pagi tadi tidaklah terlalu teruk.”
“Kami ada membuat sedikit perubahan di jentera tetapi saya tidak dapat merasakan perbezaan yang ketara. Saya banyak menggunakan kekuatan tolakan yang agak sama ketika perlumbaan sesi latihan, cuma kemungkinan saya sudah terbiasa dengan perubahan tersebut. Sudah pasti, prestasi saya lebih baik namun kriteria jentera , menurut saya masih dalam keadaan yang sama.
“Sudah tentu ianya tidak mudah buat saya dan pasukan yang terpaksa bergelut dengan pelbagai cabaran ketika perlumbaan tetapi kami mengaku yang kami sudah terbiasa dengan situasi tersebut dan dalam pusingan serangan terakhir, kami berjaya memperbaiki perkara tersebut.
Mengulas mengenai kedudukan yang diperoleh dalam perlumbaan hari ini, beliau mengakui tidak dapat mempamerkan aksi terbaiknya.
“Hari ini kami tidak mampu untuk menduduki kedudukan yang terbaik, saya berharap esok kami dapat pamerkan aksi lebih cemerlang untuk layak ke peringkat kelayakan 1 dan 2. Meskipun peringkat kelayakan 1 agak sukar, kerana hanya dua slot sahaja yang ditawarkan dan terdapat ramai pelumba yang laju tetapi saya akan tetap berikan yang terbaik untuk melayakkan diri.
“Saya harus menjadi realistik, buat masa sekarang saya hanya mahu melakukan yang terbaik dan hasrat saya untuk perlumbaan esok adalah berada dalam kelompok ke-5 terbaik.
Bezecchi akan turun meneruskan saingannya di peringkat Q1 yang dijadualkan bermula pada pukul 10.50 pagi esok (Sabtu).