Marc Marquez tolak tajaan Monster Energy, kekal setia dengan Red Bull?

Pelumba pasukan kilang Ducati MotoGP, Marc Marquez, dilaporkan telah menolak tawaran penajaan peribadi daripada Monster Energy, meskipun jumlah yang ditawarkan dikatakan setanding dengan apa yang diterima rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia.

Sebagai penaja utama pasukan Ducati, logo Monster Energy kini dipaparkan secara meluas pada jentera Ducati, pakaian perlumbaan pelumba, serta pakaian rasmi pasukan. Namun, satu perkara yang menarik perhatian adalah topi keledar Marquez tidak akan menampilkan logo Monster Energy, berbeza dengan kelengkapan lain yang digunakannya.

Menurut laporan Motorsport.com, Monster Energy telah menawarkan kontrak bernilai tinggi kepada Marquez, tetapi pelumba Sepanyol itu tetap menolak atas dasar kesetiaan dan rasa hormat terhadap Red Bull. Keputusan ini dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan hubungan jangka panjang dengan Red Bull kekal terbuka untuk masa hadapan.

Malah, laporan turut mendakwa Ducati sendiri sebenarnya menjangkakan Red Bull akan mengemukakan tawaran penajaan bagi musim 2025, namun perbincangan itu dikatakan berlaku terlalu lewat untuk direalisasikan.

Sebagai ganti kepada logo Red Bull yang sebelum ini menghiasi topi keledarnya, Marquez kini telah memilih untuk memaparkan logo Estrella Galicia, satu jenama yang sudah lama dikaitkan dengan perjalanan kariernya.

Dalam laporan lain daripada El Periodico, penaja utama Ducati, Lenovo, dilaporkan pernah menjalankan kajian pada tahun lalu yang mencadangkan Ducati memilih Marquez berbanding Jorge Martin kerana pengaruh global Marquez yang jauh lebih besar.

Walaupun kajian tersebut memberikan gambaran tentang impak besar Marquez dalam dunia MotoGP, keputusan akhir Ducati tetap tidak terkesan olehnya.

Keengganan Marquez untuk menerima jentera rasmi Ducati di Pramac Racing bagi musim 2025 merupakan asbab utama Ducati melakukan pusingan U dalam perancangan mereka, sekaligus mengubah hala tuju pasukan utama mereka.

Pengarah Komersial dan Pemasaran Gresini, Carlo Merlini turut bersetuju dengan pengaruh luar biasa yang ada pada Marquez dengan mengungkapkan beliau menjadi saksi kepada perkara itu.

“Marc bukan sekadar seorang pelumba yang mampu menghadiahkan kemenangan dan prestasi cemerlang, tetapi kehadirannya turut membawa impak global yang luar biasa.

“Tiada siapa dalam MotoGP yang memiliki pengaruh sebesar Marc. Daya tarikannya begitu unik, karismanya mampu membuka banyak pintu dari segi penajaan mahupun liputan media. Kehadirannya di dalam pasukan bukan sekadar tentang perlumbaan, tetapi juga tentang membina jenama dan menarik perhatian dunia, ” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan nama besar serta pengaruh luar biasa yang dimiliki oleh Marquez, tidak menghairankan jika jenama-jenama ternama terus bersaing untuk menjadi sebahagian daripada legasi MotoGP yang dibawanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related