Marc Marquez selangkah ke Juara Dunia

Lebih dari 2,100 hari selepas kali terakhir dinobatkan sebagai Juara Dunia MotoGP, Marc Márquez (Ducati Lenovo Team) kini berada di ambang kejayaan dalam merampas kembali takhta tersebut.

Sejak kejayaan yang dikecapinya pada musim 2019 yang menyaksikan beliau mengutip gelaran dunia keenam, Marquez melalui perjalanan yang sukar dengan beberapa pembedahan yang harus dijalaninya akibat tiga siri kecederaan, dua kali pertukaran pasukan, dan sekali pertukaran pengeluar.

Selepas kerap mencuri tumpuan dengan kemunculan di kelompok tiga teratas, pelbagai persoalan timbul mengenai kemampuan Marc Márquez untuk kembali bergelar juara. Kini, segala tanda tanya itu terjawab apabila beliau hanya tinggal selangkah lagi untuk menggenggam trofi Juara Dunia MotoGP 2025.

Dengan kelebihan 185 mata, Márquez dijangka mengesahkan dominasinya dan merampas semula takhta kejuaraan di Motul Grand Prix Jepun, sekali gus memburu gelaran dunia ketujuh dalam karier gemilangnya hujung minggu ini.

“Kami datang ke sini selepas satu lagi perlumbaan hebat di Misano dan sesi ujian keseluruhan yang positif. Minggu ini pastinya istimewa dengan suasana di Jepun yang sudah terkenal dengan budaya unik, dan saya memang suka dengan litar ini.

Kami akan mengambil pendekatan yang sama seperti dua perlumbaan lepas, dengan cara yang sama seperti biasa. Langkah demi langkah, bermula dari aksi sesi Jumaat dan kami akan mengekalkan aksi saingan yang kompetitif dalam SPRINT dan kemudian GP hujung minggu ini,” katanya.

Antara saingan yang dinanti-nantikan Ahad ini sudah tentu adiknya sendiri, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) yang mempunyai peluang besar dalam menafikan kejuaraan abangnya itu. Dengan rekod cemerlang sepanjang musim 2025, konsistensi dalam meraih podium sehingga melayakkan dirinya menerima jentera spesifikasi kilang Ducati telah membuktikan penguasaannya musim ini.

Alex juga mempunyai sejarah manis di Litar Motegi, di mana beliau meraih kemenangan GP pertamanya pada 2013. Namun di kelas premier, nasib kurang menyebelahi. Selain bersaing untuk takhta Dunia, Alex turut berpeluang merangkul gelaran Pelumba Pasukan Bebas Terbaik.Ketika ini, beliau unggul di tempat kedua dengan 150 mata di hadapan.

Tumpuan lain di Motegi adalah pertarungan perebutan tempat ketiga keseluruhan. Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) hanya berkelebihan lapan mata berbanding Marco Bezzecchi (Aprilia Racing). Momentum kini memihak kepada Bezzecchi, tetapi Motegi berpotensi mengubah segalanya.

Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) juga masih dalam buruan, 41 mata di belakang Bezzecchi. Tahun lalu beliau menjadi tumpuan utama di Jepun walaupun gagal menukar ‘pole position’ kepada kemenangan. KTM lain seperti Brad Binder, Enea Bastianini dan Maverick Viñales (yang masih pulih daripada kecederaan bahu) turut berpotensi menyerlah di trek ini.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related