Marc Marquez menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dalam GP Malaysia semalam selepas terbabas di selekoh terakhir ketika menduduki tempat ke-3. Walaupun kesilapan itu membuatkan beliau terlepas peluang podium, Marquez tetap positif dengan prestasi jentera yang sangat baik dan mengakui bahawa kadang-kadang kesilapan tidak dapat dielakkan.
“Saya sangat gembira dengan hujung minggu ini kerana kami beraksi dengan sangat baik,” ujar Marquez.
“Memang benar, jika anda melakukan kesilapan pada hari Ahad, ia boleh kelihatan seperti satu bencana, tetapi sebenarnya tidak begitu. Saya sentiasa memilih untuk mengambil sisi positif dan ia adalah hujung minggu yang hebat. Yang paling penting, kami kembali ke perlumbaan dan berjaya menamatkan di tempat ke-12.”
Mengulas mengenai persaingan sengit selama tiga pusingan antara Jorge Martin dan Pecco Bagnaia, Marquez berkata bahawa beliau mendapat tempat terbaik untuk menyaksikan pertarungan epik dua pesaing gelaran itu.
“Saya adalah penonton VIP untuk pertarungan yang menakjubkan itu!” kata Marquez. “Saya sangat menikmatinya. Tetapi pada masa yang sama, saya bingung. Mereka bertarung dengan sengit, tetapi masa pusingan mereka masih sangat pantas.”
“Walaupun saya kehilangan sedikit slipstream, saya dapat melihat kami membuka jurang yang besar dengan pelumba lain. Mereka memang menunggang dengan cara yang sangat hebat.”
Marquez, yang dikenali dengan semangat juangnya yang tinggi dalam bersaing, turut ditanya sama ada beliau memilih untuk tidak mencabar Bagnaia dan Martin demi menghormati perebutan gelaran antara kedua-duanya. Namun, Marquez menafikannya.
“Mereka hanya lebih laju daripada saya,” jawab Marquez.
“Kadang-kadang, apabila anda berada di belakang seseorang, orang yang menonton di TV akan berkata, ‘Kenapa tidak memotong? Kenapa tidak sertai pertarungan itu?’ Tetapi hari ini, walaupun saya ingin turut serta, mereka terlalu laju dan dari segi kelajuan, itu tidak mungkin.”
Dalam situasi seperti ini, pilihan lain yang ada adalah jika Pecco Bagnaia memperlahankan rentak di hadapan untuk membawa Marquez, Enea Bastianini, dan pelumba lain ke dalam kelompok pertarungan. Strategi yang digunakan Jorge Lorenzo untuk mengejar gelarannya pada 2013 di Valencia, di mana Marquez memenangi gelaran MotoGP sebagai rookie hanya dengan kelebihan 4 mata.
“Masalahnya, jurang perbezaan antara Pecco, Martin dan yang lain amat besar hari ini,” jelas Marquez apabila ditanya jika beliau terkejut Bagnaia tidak memperlahankan rentak. “Jika anda lihat, Bastianini di tempat ketiga ketinggalan 10 saat di belakang Pecco. Untuk memperlahankan perlumbaan sebanyak 2-3 saat, mungkin boleh. Tapi untuk 10 saat, itu mustahil.”
Selepas pertarungan antara Bagnaia dan Martin berakhir, Marquez malangnya terbabas di selekoh terakhir. “Di Thailand, saya berkata ‘Saya faham kenapa saya jatuh’,” kata Marquez. “Tetapi hari ini, melihat Bastianini 2.5 saat di belakang, saya fikir saya boleh mengawal jarak dengannya. Saya tidak membrek lebih lewat atau lebih kuat, tetapi saya tetap jatuh. Kadang-kadang, anda tidak dapat menjelaskannya, tapi saya terima ini adalah kesilapan saya.”
“Saya kembali menyertai perlumbaan. Jentera mengalami sedikit kerosakan, terutama pada tuas penukar gear. Namun, demi menghormati pasukan, saya memutuskan untuk meneruskan perlumbaan dan berjaya mengumpul beberapa mata.”
Walaupun tergelincir ke tempat ke-17, pelumba Gresini itu berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 dan memperoleh empat mata, sekali gus mengekalkan kedudukan di hadapan Bastianini untuk tempat ketiga dalam kedudukan keseluruhan musim, dengan hanya satu lagi pusingan yang berbaki di Barcelona.