Aksi Sabtu yang mendebarkan sekali lagi menjadi milik Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) apabila juara dunia enam kali itu menggondol kedudukan pole position dan kemenangan Tissot Sprint di Grand Prix Qatar 2025 awal pagi tadi.
Kejayaan itu turut menyaksikan Marquez kembali mengungguli kedudukan kejuaraan, menewaskan adiknya, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP), yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Tempat ketiga pula menjadi milik Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team), sementara Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) tidak bernasib baik apabila berdepan malam yang suram dengan hanya menduduki petak ke-8
Awal perlumbaan, ketiga-tiga pelumba barisan hadapan memulakan perlumbaan dengan baik, namun Marc Marquez pantas merampas kedudukan mereka diikuti Alex dan Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP). Morbidelli dan pendatang baharu, Fermin Aldeguer, turut bersaing sengit di posisi keempat sebelum Maverick Viñales dan Johann Zarco turut sama menyelit untuk membarisi barisan hadapan.
Sementara itu, Bagnaia yang memulakan saingan dari petak 11 berjaya mendaki ke petak 8 selepas satu pusingan, namun harapannya untuk bangkit dan mendaki kedudukan yang lebih tinggi kian pudar apabila dia dipintas oleh Pedro Acosta, Ai Ogura, dan Jorge Martin pada selekoh ke- 2.
Dalam pada itu, Marc terus mendahului perlumbaan dengan jurang sekitar 0.3 saat berbanding Alex, diikuti Morbidelli yang mengekalkan tempat ketiga. Quartararo, Viñales dan Aldeguer masing-masing memberi tekanan di belakang.
Pusingan demi pusingan, Marc mencatatkan masa terpantas, melebarkan jurang kepada 0.5 saat, namun Alex tidak mengalah dan terus mengekori rapat. Aldeguer pula menyerlah apabila berjaya memintas Viñales dan mula menghampiri kelompok hadapan.

Tiga pusingan terakhir menyaksikan Marquez sudah 1.2 saat di hadapan, manakala Morbidelli berusaha mengekang asakan Quartararo dan Aldeguer. Bagnaia yang masih bergelut, hanya berjaya menaiki ke P9 selepas memintas Acosta.
Di pusingan terakhir, Marc Marquez tampak selesa dan tiada siapa mampu menghalangnya daripada mencatat kemenangan Sprint keempat berturut-turut musim ini. Alex Marquez sekali lagi meraih P2 manakala Morbidelli berjaya mempertahankan kedudukan ketiga walaupun diasak hebat.
Aldeguer menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan prestasi luar biasa, diikuti Quartararo (P5), Di Giannantonio (P6), Ogura (P7), dan Bagnaia yang menamatkan hari mengecewakan di P8.
Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) mencuri satu mata terakhir di P9, sementara strategi tayar lembut Viñales tidak menjadi apabila dia tergelincir ke P10. Jorge Martin pula menamatkan Sprint pertamanya sejak kecederaan tahun lalu di tempat ke-16.
Berikut merupakan keputusan penuh perlumbaan Sprint :