Ujian rasmi pra-musim melabuhkan tirai semalam di Litar de Barcelona-Catalunya bagi persediaan menjelang musim 2025.
Penampilan pertama Marc Marquez sebagai pelumba rasmi Ducati sudah tentu menjadi tumpuan ketika sesi ujian apabila beliau mencatat masa terpantas bersama jentera baru dengan 1:39.454 saat selepas melakukan 49 pusingan dan mengakhiri sesi di tempat keempat.
Beliau turut menyatakan perbezaan bersama pasukan kilang itu dimana fokus diberikan kepada ujian komponen baharu dan konfigurasi tetapan yang jelas berbeza daripada jentera lamanya bersama Desmosedici spesifikasi kilang yang tampil dengan “Todo al Rojo” – disalut dengan warna merah.
“Bagus rasanya untuk kembali bekerja sebagai salah seorang pelumba jentera kilang. Dalam pasukan kilang, ujian sentiasa sedikit berbeza anda perlu melakukan pelbagai percubaan untuk memastikan apa yang dirasai dan maklum balas ketika sesi ujian adalah tepat. Hari ini, kami memberikan tumpuan kepada perkembangan GP25 dalam memastikan apa yang baik dan apa yang kurang berbanding jentera yang saya tunggang untuk musim ini.
Beberapa aspek dan teknikal masih perlu diperbaiki kerana bukan mudah untuk muncul dalam litar dengan jentera baru dan terus berada di tahap tertinggi seperti dengan jentera saya sebelum ini. Namun apa yang baiknya ialah apa yang dirasai, maklum balas saya dan Pecco adalah sama, jadi sedikit sebanyak membantu memudahkan kerja jurutera sepanjang musim sejuk nanti. Secara keseluruhan, saya gembira kerana prestasi jentera dalam keadaan positif, ” katanya.
Dalam pada itu rakan sepasukannya yang juga merupakan Naib Juara 2024, Francesco Bagnaia menunggang jentera Desmosedici GP25 dengan livery putih khas sambil memulakan sesi ujian dengan melengkapkan sejumlah 58 pusingan dengan catatan masa terpantas 1:38.398saat dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Pelumba Pasukan Ducati Lenovo akan kembali semula ke litar pada tahun hadapan bagi ujian pramusim yang seterusnya dari 5 hingga 7 Februari 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia.
Berikut merupakan keputusan keseluruhan bagi sesi ujian menjelang musim MotoGP 2025 dengan Alex Marquex (Gresini Racing Team) mendahului dengan catatan masa 1:38.803 saat.