Marc Marquez enggan beri peluang, Aprilia sudah mula tunjuk belang

Ducati dimaklumkan kekal menggunakan konfigurasi 2024 selepas dua hari ujian di Buriram menyaksikan tonggak utama mereka, Marc Marquez tampil sebagai pelumba terpantas dengan catatan masa 1:28.855 saat dan merupakan pelumba tunggal dalam julat masa tersebut, semalam.

Perkara itu turut disahkan Pengurus Pasukan Ducati, Davide Tardozzi, yang menyatakan bahawa jentera pasukan mereka musim ini hanya akan menerima kemas kini dari segi elektronik dan suspensi, sementara enjin, casis, dan aerodinamik akan dikekalkan seperti musim 2024.

Keputusan ini bermakna Ducati kini terikat dengan konfigurasi enjin yang sama sehingga akhir tahun 2026. Kehebatan GP24 terus terserlah apabila Alex Marquez (Gresini Racing MotoGP) menamatkan ujian di tempat kedua, sekali lagi membuktikan keupayaannya selepas prestasi cemerlangnya di Sepang. Manakala, Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) pula berada di kedudukan ketujuh.

Aprilia mula tunjuk belang

Dalam sesi ujian di Buriram, Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) turut mencuri perhatian apabila mencatat masa ketiga terpantas, sekali gus merekodkan masa terbaik Aprilia di Buriram dengan 1:29.060s. Catatan ini juga menandakan peningkatan terbesar dalam kalangan pengeluar, termasuk KTM dan Honda.

Simulasi Sprint Bezzecchi turut memberi gambaran positif untuk musim ini. Sementara itu, pelumba ujian Lorenzo Savadori serta Raul Fernandez (Trackhouse MotoGP Team) yang masih dalam proses pemulihan selepas kemalangan di Sepang, berjaya menambah data penting buat Aprilia.

KTM enggan putus asa

Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) terus menyerlah dengan mencatatkan masa 1:29.133s, hanya sedikit sahaja perbezaan di belakang Bezzecchi. Prestasi awalnya menunjukkan sedikit kelebihan berbanding rakan sepasukan, Brad Binder, yang menamatkan ujian di tempat ke-12. Sementara itu, Maverick Vinales semakin menyesuaikan diri di Red Bull KTM Tech3 dan berjaya menembus kelompok 10 terbaik, berbeza dengan rakan sepasukannya, Enea Bastianini yang masih mencari keserasian dengan jenteranya.

Honda semakin pulih

Honda mencuri tumpuan di Buriram selepas prestasi Yamaha yang memukau di Sepang. Joan Mir (Honda HRC Castrol) menamatkan ujian di tempat keenam dengan catatan masa terbaik Honda di Buriram, selain melakukan simulasi Sprint yang setanding dengan Aprilia dan KTM. Luca Marini (Honda HRC Castrol) pula di kedudukan ke-14, manakala Johann Zarco (Castrol Honda LCR) di tempat ke-16.

Kredit : MotoGP

Yamaha masih mencari rentak

Yamaha yang mencatat peningkatan ketara di Sepang sedikit bergelut di Buriram. Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) menamatkan ujian di tempat kelapan, sementara Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP) dan Miguel Oliveira masing-masing berada di tempat ke-10 dan ke-19. Alex Rins (Monster Energy Yamaha MotoGP) pula di tempat ke-17, dengan jangkaan prestasi lebih baik menjelang perlumbaan sebenar.

Kredit : MotoGP

Rookies mula mengganas

Ai Ogura (Trackhouse MotoGP Team) muncul sebagai pelumba rookie terpantas dengan catatan 1:29.6s, mengatasi Fermin Aldeguer (Gresini Racing MotoGP) yang merekodkan 1:30. Wira negara tuan rumah, Somkiat Chantra, juga terus mencatat peningkatan dengan masa yang lebih baik pada setiap sesi.

Dengan ujian di Buriram kini berakhir, kejuaraan MotoGP 2025 bakal bermula tidak lama lagi dengan barisan pelumba-pelumba baharu bakal mewarnai Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand yang dijadualkan pada 28 Februari hingga 3 Mac ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related