Konflik yang melanda pelumba legenda Valentino Rossi dan Pelumba Ducati, Marc Marquez pada tahun 2015 kembali menjadi buah mulut selepas Marquez mengeluarkan kenyataan mengenai insiden tersebut setelah sekian lama.
Pertengkaran yang membabitkan kedua-dua pelumba itu, dipercayai terjadi di garaj Ducati ketika Marquez sedang membuat persiapan untuk menyertai anak didik Rossi, Pecco Bagnaia pada ketika itu jelas meninggalkan kesan mendalam kepada Marquez.
“Tidak akan berlaku pertengkaran jika hanya sebelah pihak sahaja yang mahu bergaduh” katanya ketika mengulas mengenai konflik yang tercetus akibat dari tuduhan tidak mempunyai sikap kesukanan (sportmanship) dan merupakan punca utama gagal memenangi kejuaraan MotoGP pada musim 2015 oleh Valentino Rossi.
Kenyataan itu dipercayai turut meredakan ketegangan antara kedua-dua pelumba itu setelah beliau turut mengakui kesilapan lalunya dan dipercayai pendekatan tersebut merupakan strategi terbaik bagi menghadapi musim 2025.
Dalam pada itu, Marquez turut berkongsi perjalanan kariernya pada musim ini dan mengharapkan dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran yang baharu untuk musim depan.
“Tahun ini saya berada dalam suasana yang bagus dimana persekitaran saya adalah yang terbaik untuk saya bangkit semula, tanpa sebarang tekanan. Gresini merupakan pasukan yang mempunyai semangat yang tinggi dalam sukan permotoran. Dan ketika ini, saya harus mula menyiapkan diri bagi menghadapi perkara-perkara yang bakal menanti saya tidak lama lagi.
“Saya akan dinilai berdasarkan prestasi terkini saya, jadi saya akan cuba sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri bersama Ducati. Apabila dimaklumkan saya merupakan pelumba pilihan mereka, saya tidak mempersoalkan perkara itu, malah saya terus mempersiapkan diri saya dan bersedia untuk menanda tangan kontrak bersama mereka. Saya berterima kasih dengan peluang yang diberikan dan akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya lagi.
Sebelum ini, Marquez pernah berlumba untuk pasukan Honda dari tahun 2013 sehingga 2023 sebelum berpindah ke pasukan Gresini. Beliau juga merupakan antara salah seorang daripada empat pelumba yang memenangi dunia gelaran kejuaraan dalam tiga kategori berbeza, selepas Mike Hailwood, Phil Read dan Valentino Rossi, dan merupakan salah seorang pelumba motosikal paling berjaya sepanjang zaman, dengan lapan Kejohanan Dunia Grand Prix.
Bukan itu sahaja, Márquez juga merupakan pelumba Sepanyol ketiga selepas Àlex Crivillé dan Jorge Lorenzo memenangi gelaran kelas perdana, dan merupakan pelumba Sepanyol paling berjaya dalam MotoGP setakat ini dengan 62 kemenangan selepas merangkul gelaran juara Grand Prix Australia 2024.