Segala persiapan menjelang perlumbaan pusingan terakhir MotoGP telah pun selesai dilaksanakan oleh Juara Dunia MotoGP 2023 , Pecco Bagnaia dalam mempamerkan aksi terbaik di Solidarity GP of Barcelona hujung minggu ini.
Pelumba kelahiran Itali itu berkata beliau akan memberikan sehabis baik bagi pusingan akhir MotoGP ini dan berharap dapat memberikan saingan sengit kepada pelumba Sepanyol, Jorge Martin sekali gus merampas trofi Juara Dunia musim ini.
“Saya gembira dengan keputusan untuk meneruskan perlumbaan terakhir musim ini di Barcelona berbanding Valencia. Apa yang berlaku sangat menyedihkan, dan kami benar-benar berharap hasil dari acara ini dapat memberikan sokongan besar kepada mereka yang terjejas akibat banjir.
“Bagi kami, kami akan melakukan aksi hujung minggu ini seperti biasa. Kami masih mempunyai peluang, dan walaupun ianya sudah tentu sukar, kami akan memberikan segala-galanya hingga ke saat terakhir. Tidak kira apa keputusannya, ia merupakan satu penghormatan untuk sekali lagi berada di perlumbaan terakhir untuk musim ini , saya akan berjuang habis-habisan demi dalam perebutan trofi juara dunia itu. Saya sudah tidak sabar untuk kembali semula ke litar!” katanya.
Dalam pada itu, aksi minggu ini juga merupakan minggu penting buat rakan sepasukannya, Enea Bastianini yang bakal berlumba buat kali terakhir bersama pasukan Ducati.
Bastianini yang ketika ini berada di tempat keempat selepas hanya ketinggalan satu mata di belakang Pelumba Gresini Racing MotoGP, Marc Marquez mengakui masih mengintai tempat di podium dalam kejuaraan dunia.
“Saya gembira diberikan peluang untuk menebus kesilapan dengan kembali ke Montmeló selepas aksi perlumbaan di sini pada musim bunga lalu. Saya sentiasa dalam kelajuan terbaik di litar ini, tetapi penalti long lap yang saya terima selepas pertembungan dengan Alex Márquez pada perlumbaan terakhir jelas menjejaskan prestasi saya.
“Ketika ini kami berada di tempat keempat dalam kedudukan dunia, hanya satu mata di belakang Marc Márquez. Kami akan memberikan 100 peratus untuk mendapatkan tempat di podium Kejuaraan Dunia,”ungkapnya.
Para pelumba Pasukan Ducati Lenovo akan memulakan sesi latihan bebas pertama mereka di Solidarity GP Barcelona pada hari Jumaat, 15 November ini sekitar pukul 5.45 petang waktu tempatan.