Austria bakal menjadi pentas pembuka tirai separuh kedua musim MotoGP 2025 apabila pusingan ke-13 berlangsung di Red Bull Ring hujung minggu ini. Selepas cuti musim panas yang panjang, barisan pelumba kembali dengan semangat, sasaran, dan tenaga baharu untuk menghadapi empat pusingan Eropah dalam tempoh lima minggu bermula di jantung pergunungan Styrian Alps yang terkenal dengan aksi penuh drama.
Tumpuan pastinya terarah kepada pendahulu kejuaraan, Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) yang mencipta sejarah sebagai pelumba Ducati pertama memenangi lima perlumbaan berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas dengan kelebihan 120 mata. Namun, Red Bull Ring masih menjadi ‘litar keramat’ yang belum mampu ditawan, kali terakhir Marquez menaiki podium di sini adalah pada 2019.
Rakan sepasukan beliau, Francesco Bagnaia, pula hadir dengan rekod sempurna di Austria sejak 2022 dan dilihat sebagai pencabar terkuat untuk menafikan rentak kemenangan Marquez. Sementara itu, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) turut memburu podium pertamanya di Austria selepas penampilan yang kurang memuaskan di Brno.

Aprilia Racing pula semakin menunjukkan taring sejak GP Czech dengan Marco Bezzecchi mengutip dua podium Grand Prix dan dua podium Sprint dalam tiga perlumbaan terakhir. Jorge Martin, yang baru kembali dari kecederaan, menamatkan aksi di Brno di kedudukan ketujuh dan berpotensi mencipta kejutan di Austria.
Bintang muda Raul Fernandez (Trackhouse MotoGP Team) pula konsisten menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik untuk lima perlumbaan berturut-turut, termasuk kedudukan kelima di Brno. Rakan sepasukannya, Ai Ogura, berharap dapat bangkit selepas prestasi hambar di Czech akibat masalah kecergasan.
Bagi KTM pula, ini adalah pusingan yang paling istimewa ‘home race’ yang penuh makna. Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) mencuri tumpuan dengan podium di Brno, sementara Enea Bastianini (Red Bull KTM Tech 3) turut meraih podium Sprint. Brad Binder, pemenang GP Austria 2021, pastinya mahu mengulangi detik gemilang di atas litar yang sama.
Di kem Yamaha, Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) mengetuai cabaran dengan kedudukan kesembilan keseluruhan, hanya tujuh mata di belakang Johann Zarco (CASTROL Honda LCR). Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) pula mahu bangkit selepas pulang tanpa mata di Brno, manakala rakan sepasukannya Franco Morbidelli hanya ketinggalan tiga mata.
Dalam pada itu, pelumba rookie sensasi, Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP), kekal sebagai pendatang baharu terbaik musim ini dengan kelebihan 28 mata ke atas Maverick Viñales. Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP),yang pernah menaiki podium di Red Bull Ring pada 2022, kini berkongsi mata dengan Luca Marini (Honda HRC Castrol). Joan Mir pula yang mempunyai rekod cemerlang di Austria, sudah pasti mahu menebus kekecewaan selepas insiden di Brno dengan kutipan mata yang cemerlang.
Dengan Red Bull Ring terkenal sebagai litar yang penuh aksi dan kejutan, persoalan utama mampukah Marc Marquez mengisi satu-satunya ruang kosong dalam rekod kemenangannya, atau adakah pencabar lain bakal menghentikan rentak luar biasanya?
Baca juga:


