Selepas empat tahun menanti, Malaysia kini secara rasmi diiktiraf sebagai Ahli Penuh (full members) Motorsport dan Mobility dari Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) 2024, setelah Persatuan Motorsports Malaysia (MAM) menerima kelulusan pada mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kigali, Rwanda.
Perhimpunan yang diadakan dari 9 hingga 14 Disember 2024 itu turut menyaksikan Malaysia bakal melalui tempoh percubaan (probation) bagi jawatan tersebut selama dua tahun.
Perkara itu dimaklumkan Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir yang menyatakan perubahan status yang dikecapi bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan ianya memakan masa yang agak lama untuk membuktikan kemampuan MAM di peringkat antarabangsa sebelum diangkat menjadi sebahagian daripada Ahli Penuh mereka.
“Selepas empat tahun, minggu lepas baru sahaja kami menerima kelulusan dan diiktiraf sebagai ahli penuh di FIA. Jadi selama dua tahun tempoh percubaan (probation) ini, kami harus memastikan prestasi MAM dalam keadaan yang baik.
“Selama tempoh percubaan, kami harus menjalankan tanggungjawab dengan baik dan menggalas tanggungjawab dalam mengembangkan lagi aktiviti sukan permotoran di Malaysia dan paling penting hubungan bersama negara-negara jiran juga dalam keadaan yang stabil.
“Kita harus memastikan segalanya dalam keadaan yang baik, kerana perubahan status ini bukanlah sesuatu perkara yang kecil dan ianya tidak mudah. Ianya luas dan menyeluruh,” katanya ketika dalam sesi podcast bersama Wheel Talk dari Tarmac Sports.
Dalam masa yang sama, Perhimpunan Agung FIA juga meluluskan keahlian penuh secara definitif untuk beberapa ahli yang sebelum ini berstatus ahli sementara. selain MAM, Federasi Cayman Motoring (CMF) dari Kepulauan Cayman, turut disenaraikan sebagai ahli penuh.
FIA telah melakukan berapa perubahan dengan meluluskan status bagi beberapa ahli mereka. Antaranya, Automobile Club of Estonia (EAK) dari Estonia dan Auto-Moto Society of Latvia (LAMB) dari Latvia, yang kini beralih status daripada Ahli Penuh kepada Ahli Bersekutu bagi kompetensi Mobiliti dan Pelancongan Automobil.
Baca juga artikel sebelum ini mengenai Garis Panduan Komprehensif Untuk Sukan Drag dan Motocross
Terdahulu, seramai 243 wakil daripada kelab dan sukan permotoran yang juga merupakan wakil kepada 80 juta ahli di seluruh dunia hadir di perhimpunan agung FIA 2024. Perhimpunan tersebut merupakan acara tahunan yang berfungsi sebagai platform utama untuk membincangkan isu-isu penting berkaitan mobiliti, keselamatan jalan raya, dan perkembangan dalam sukan permotoran.
Ia juga menjadi medan untuk menetapkan dasar dan garis panduan bagi tahun-tahun akan datang selain memberi peluang kepada ahli-ahli untuk berkongsi idea dan pengalaman, serta memperkukuhkan lagi kerjasama antara kelab-kelab di peringkat global.
Tonton episode penuh bersama Tan Sri Mokhzani disini: