Malaysia sah jadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix

Malaysia bakal kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih untuk menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

Pengumuman itu dibuat secara rasmi oleh Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) hari ini, dengan perlumbaan tersebut dijadual berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura dalam kalendar Formula 1 musim 2026.

Penganjuran perlumbaan itu bagaimanapun masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA (FIA World Motor Sport Council).

Perlumbaan berkenaan akan dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, hasil kerjasama antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia.

Menurut Formula 1, kerjasama itu membolehkan perlumbaan Grand Prix Bahrain dikekalkan dalam kalendar musim 2026, yang mungkin tidak dapat dianjurkan di lokasi asal berikutan cabaran serantau ketika ini.

Dalam masa sama, ia mencerminkan komitmen berterusan Bahrain terhadap Formula 1 sejak menjadi negara pertama di rantau Timur Tengah menganjurkan perlumbaan Formula 1 pada 2004, selain menunjukkan kesediaan Malaysia membantu memastikan musim 2026 berlangsung seperti dirancang.

Formula 1 turut memaklumkan bahawa baki kalendar perlumbaan musim 2026 kekal tidak berubah.

Kembalinya Formula 1 ke Sepang dijangka mengembalikan nostalgia peminat sukan permotoran selepas kali terakhir litar ikonik itu menganjurkan Grand Prix Formula 1 pada 2017. Litar Antarabangsa Sepang terkenal sebagai antara litar paling mencabar dalam kalendar Formula 1, selain sering menghadirkan perlumbaan menarik menerusi sokongan padu peminat tempatan serta keadaan cuaca tropika yang sukar dijangka.

Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Duli Yang Teramat Mulia Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, berkata penganjuran perlumbaan di Malaysia mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Di tengah-tengah cabaran serantau yang sedang dihadapi, Bahrain berbangga dapat terus menjadi tonggak kestabilan kepada Formula 1 dan kami akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan perlumbaan ini berlangsung dengan jayanya serta menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat semua pihak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah perlumbaan tersebut.

“Kami berbesar hati dapat menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini.

“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan persahabatan yang kukuh, kepercayaan bersama dan hubungan erat antara Malaysia serta Bahrain, di samping mengesahkan kesiapsiagaan Malaysia sebagai penganjur acara antarabangsa berskala besar,” katanya.

Beliau turut menegaskan Malaysia bersedia mengalu-alukan kehadiran Formula 1, FIA, pasukan-pasukan bertanding serta peminat dari seluruh dunia ke Sepang, sekali gus mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi dan layanan mesra negara kepada komuniti sukan permotoran antarabangsa.

Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket bagi perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related