Sesi ujian musim sejuk (Winter Test) pagi tadi menyaksikan malang berganda menimpa beberapa pelumba, termasuk Raul Fernandez, Jorge Martin, dan Fabio Di Giannantonio, apabila ketiga-tiganya terpaksa menarik diri akibat kecederaan serius.
Raul Fernandez secara rasmi mengumumkan pengunduran dirinya daripada sesi ujian selepas mengalami keretakan kaki dan patah tulang metakarpal di tangan kirinya. Ini merupakan tahun kedua berturut-turut pelumba Trackhouse itu mengalami kecederaan yang memaksanya untuk menarik diri lebih awal.
Lebih mengejutkan, Juara Dunia 2024, Jorge Martin, yang pada awalnya dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius selepas kemalangan pada sesi pagi, kini disahkan mengalami patah tangan kanan dan patah kaki kiri selepas menjalani imbasan CT dan MRI.
Walaupun keputusan awal menunjukkan tiada kecederaan kritikal, Martin kini perlu bermalam di hospital sebelum diterbangkan ke Eropah esok untuk menjalani pembedahan bagi kedua-dua kecederaannya.
Seorang lagi pelumba yang menerima nasib malang itu ialah wakil Pertamina Enduro VR46 Racing, Fabio Di Giannantonio yang mengalami patah tulang selangka kiri (left collarbone) selepas insiden di Selekoh 5. Pelumba Itali itu bakal diterbangkan pulang ke negaranya malam ini untuk menjalani pembedahan segera.
Sesi ujian musim sejuk kali ini ternyata menjadi cabaran besar buat beberapa pelumba, dengan insiden kecederaan yang merencatkan persiapan mereka menjelang musim baharu. Keputusan penuh hari pertama winter test boleh didapati di pautan sesi pagi dan sesi petang.


