KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Dua pasukan WorldTeam dan lapan pasukan berstatus ProTeam disahkan akan menghangatkan saingan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 yang dijadualkan bermula pada 27 September hingga 4 Oktober depan.
Melengkapkan senarai 20 pasukan bagi saingan tahun ini adalah sembilan pasukan Benua (Continental) dan pasukan kebangsaan Malaysia bagi mengharungi cabaran lapan peringkat LTdL26 yang meliputi jarak sejauh 1,285.5km.
Dua pasukan WorldTeam yang mengesahkan penyertaan adalah XDS Astana dari Kazakhstan dan pasukan Belanda, Picnic PostNL manakala lapan pasukan ProTeam adalah Tudor Pro Cycling Team (Switzerland); Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Burgos-Burpellet (Sepanyol); TotalEnergies dan Unibet Rose Rockets (Perancis); Bardiani CSF-Saber (Itali); dan muka baharu, Modern Adventure Pro Cycling dari Amerika Syarikat.
Sembilan pasukan benua pula terdiri daripada Terengganu Cycling Team dan Malaysia Pro Cycling dari Malaysia; Thailand Continental Cycling Team (Thailand); 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina); Nusantara Cycling Team (Indonesia); WheelTop Rotor Chengdu Cycling Team (China); Aisan Racing Team (Jepun); KSPO (Korea Selatan) dan St George Continental Cycling Team (Australia).
Berbeza dengan sejumlah 22 pasukan pada tahun lalu, dua nama besar yang ‘hilang’ adalah dua pasukan ProTeam – Uno-X Mobility dan Polti VisitMalta.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, walaupun jumlah pasukan bertanding kali ini berkurangan berbanding 22 pasukan pada saingan edisi lalu, ia masih menepati kuota perlumbaan berstatus ProSeries yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Sebab utama pengurangan pasukan ini adalah demi langkah penjimatan oleh semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan disebabkan ketidakstabilan ekonomi negara dan geopolitik dunia.
“LTdL membuat penjimatan menerusi dua aspek iaitu mengurangkan kos ‘appearance fee’ dan ‘travel allowance’ pasukan WorldTeam, dengan menolak permintaan pasukan EF Education dan Uno-X kerana Astana dan Picnic PostNL lebih awal mengesahkan penyertaan mereka,” kata Jefri di majlis pengumuman nama 20 pasukan bertanding dalam LTdL2026 di MSN, Bukit Jalil, hari ini.
Malah, laluan di Pulau Langkawi terpaksa ‘dipadam’ tahun ini disebabkan langkah penjimatan logistik yang lazimnya menelan kos tinggi.
Begitupun, dengan komposisi 2 pasukan WorldTeam dan 8 ProTeam itu, LTdL26 diyakini tetap menyaksikan mutu perlumbaan bertaraf tinggi, sengit, menarik dan sukar diramal, lebih-lebih lagi dengan adanya tiga peringkat pendakian sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
“Pasukan Astana, Picnic dan Tudor menyertai ketiga-tiga jelajah terbesar dunia (Grand Tour) iaitu Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana; begitu juga TotalEnergies dan Caja Rural. Bardiani dan Unibet pula berlumba di Giro manakala Kern Pharma dan Burgos turut bersaing di Vuelta.
“Jadi sembilan pasukan yang mengesahkan penyertaan kali ini tidak kurang handalnya dalam kancah perlumbaan bertaraf tinggi dunia dan saya pasti mereka akan menghantar kombinasi pelumba yang kuat untuk memastikan kemenangan,” kata Jefri lagi.
Muka baharu, Modern Adventure Pro Cycling pula adalah pasukan yang baru ditubuhkan pada tahun ini tetapi pasukan berpangkalan di Carolina Selatan itu dibimbing oleh legenda berbasikal dunia – George Hincapie yang pernah menjadi pembantu Lance Armstrong, Alberto Contador dan Cadel Evans, selain dibantu bekas pelumba yang pernah meraih kemenangan peringkat di Tour de France dan Giro, Bobby Julich.
Malah, Jefri berkata, MSN selaku penganjur LTdL turut berdebar-debar untuk melihat senarai nama pelumba yang akan dihantar oleh pasukan masing-masing kerana faktor bentuk laluan tahun ini dianggap antara yang sukar dan mencabar sepanjang sejarah penganjurannya sejak 1996.
“Ada sesetengah pasukan sudah menghantar nama pelumba tetapi kami yakin mereka akan mengubahnya pada saat-saat akhir dan menyenaraikan barisan terbaik kerana keputusan terbaik bermakna mereka turut mengutip mata-mata penting demi ranking mereka, terutama dalam perlumbaan di hujung musim,” kata Jefri lagi.
LTdL26 akan bermula dari Shah Alam pada 27 September dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan sejauh 1,285.5km.
Jelajah berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Asia-UCI itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
SENARAI PASUKAN LTdL 2026:
UCI WORLDTEAMS
1. XDS Astana (Kazakhstan)
2. Picnic PostNL (Belanda)UCI PROTEAMS
1. Tudor Pro Cycling Team (Switzerland)
2. Caja Rural-Seguros RGA (Sepanyol)
3. Equipo Kern Pharma (Sepanyol)
4. Burgos-Burpellet (Sepanyol)
5. TotalEnergies (Perancis)
6. Unibet Rose Rockets (Perancis)
7. Bardiani CSF-Saber (Itali)
8. Modern Adventure Pro Cycling (Amerika Syarikat)UCI CONTINENTAL
1. Terengganu Cycling Team (Malaysia)
2. Malaysia Pro Cycling (Malaysia)
3. Thailand Continental Cycling Team (Thailand)
4. 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina)
5. Nusantara Cycling Team (Indonesia)
6. WheelToprotor Chengdu Cycling Team (China)
7. Aisan Racing Team (Jepun)
8. KSPO (Korea Selatan)
9. St George Continental Cycling Team (Australia).PASUKAN KEBANGSAAN
1. Malaysia National Team


