Selepas menjuarai dunia F1 pada musim 2025, Lando Norris kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya. Bukan lagi sebagai seorang pemandu Formula 1 semata-mata, tetapi juga sebagai peneraju pembangunan bakat muda generasi masa depan sukan permotoran berprestij itu. Sempena GP Itali hujung minggu ini, Norris secara rasminya telah melancarkan LN4 Fusion, sebuah pasukan ‘junior single-seater’ baharu yang bakal bersaing dalam beberapa ‘feeder series’ Formula 1 bermula musim 2027.
Pengumuman ini bukan sekadar satu lagi pasukan akademi seperti yang telahpun diterajui oleh Fernando Alonso. Kerana kali ini ia bakal membawa struktur yang agak berbeza daripada apa yang biasa kita lihat dalam ekosistem pembangunan bakat F1 sedia ada.
Apa Itu LN4 Fusion dan LN4 Legacy Programme?
LN4 Fusion bakal menyertai tangga single-seater Eropah dalam tiga siri utama: Italian F4, FIA Formula Regional European Championship (FRECA), dan Formula 3. Pasukan ini juga sedang dalam proses permohonan untuk mendapatkan slot di Formula 2, walaupun status ini masih belum disahkan sepenuhnya buat masa ini. Bagi fasa awal operasi, LN4 Fusion telahpun memperoleh aset terpilih daripada AIX Racing, termasuk kemasukan dalam siri F3 sedia ada sehingga akhir musim 2027.
Namun yang lebih menarik ialah bagaimana Norris turut melancarkan sebuah inisiatif berasingan tetapi masih berkait rapat: LN4 Legacy Programme. Ini merupakan program pembangunan pemandu yang bebas dan dibiayai sepenuhnya secara peribadi oleh Norris sendiri dan dikendalikan oleh ADD Management, iaitu syarikat pengurusan yang menguruskan kerjaya profesional Norris. Objektif program ini jelas, yakni membantu para pemandu berbakat yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk beralih ke peringkat seterusnya dalam dunia sukan permotoran. Semestinya, kerana ini sudah menjadi suatu cabaran yang lazim dan sentiasa menjadi penghalang utama dalam usaha bakat muda mencapai Formula 1.
Kepimpinan Berpengalaman di Belakang Tabir
LN4 Fusion diterajui oleh René Rosin, mantan bos Prema iaitu salah satu pasukan junior paling berjaya dalam sejarah motorsport Eropah, yang telah melahirkan pelbagai pemandu F1 masa kini termasuklah Charles Leclerc dan Oscar Piastri. Sementara itu, LN4 Legacy Programme diketuai oleh Julian Rouse, juga mantan Sporting Director Alpine F1, yang akan bertanggungjawab mengenal pasti dan menyokong bakat-bakat muda yang berpotensi.
Kehadiran nama-nama berpengalaman ini bukan suatu kebetulan malah ia membuktikan pendekatan Norris yang lebih strategik. Yakni beliau telahpun membawa masuk kepimpinan yang sudah terbukti berjaya dan bukan lagi bermula dari kosong.
Bagaimana Ia Berbeza Daripada Akademi Sedia Ada?
Dunia F1 tidak asing dengan program pembangunan bakat. Red Bull Junior Team, Ferrari Driver Academy, dan Mercedes-AMG F1 Junior Team semuanya telah lama beroperasi sebagai laluan akademi rasmi di bawah jenama pasukan induk masing-masing. Fernando Alonso sendiri turut mempunyai penglibatan dalam usaha membangunkan bakat muda melalui akademinya sendiri yang telahpun menghasilkan Gabriel Bortoleto.
Namun struktur LN4 membawa beberapa perbezaan yang amat ketara:
Pertama, LN4 memisahkan dua entiti secara jelas iaitu pasukan perlumbaan (Fusion) dan program pembiayaan bakat (Legacy) — berbanding model akademi tradisional yang biasanya beroperasi sebagai satu struktur gabungan di bawah jenama pasukan F1.
Kedua, dan mungkin yang paling ketara, LN4 Legacy Programme dibiayai secara peribadi oleh Norris sendiri, bukan oleh pasukan F1 atau sponsor korporat besar. Ini berbeza sama sekali daripada akademi seperti Red Bull, Ferrari, atau Mercedes yang dibiayai oleh pasukan induk sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan bakat jangka masa panjang mereka.
Ketiga, objektif Legacy Programme secara eksplisit menyasarkan pemandu yang “berbakat tetapi tiada sokongan kewangan yang mencukupi” satu jurang yang sering diketepikan oleh akademi-akademi besar F1, dan secara lazimnya menyaring bakat berdasarkan gabungan prestasi serta potensi komersial jangka masa panjang untuk pasukan tersebut melalui sponsors.
Pendekatan ini mencerminkan pengalaman Norris sendiri. Beliau menyertai McLaren Young Driver Programme pada tahun 2017 sebelum menembusi grid F1 pada 2019, dan merupakan juara dunia F1 pertama yang lulus melalui laluan siri Formula 2. Sebuah latar belakang yang ternyata membentuk cara beliau melihat halangan utama sebenar yang dihadapi bakat-bakat muda hari ini.
Kesan Kepada Masa Depan Generasi F1
Walaupun LN4 Fusion baru sahaja diumumkan dan banyak butiran yang masih dalam proses, inisiatif ini menawarkan model alternatif kepada laluan pembangunan bakat sedia ada. Bagi bakat-bakat muda yang berpotensi tetapi tersekat disebabkan oleh kos sukan permotoran yang sangat tinggi, kewujudan program sebegini amatlah dialu-alukan.
Bagi para peminat F1 di Malaysia, ini juga satu detik penting dalam sejarah Formula 1 dimana semakin ramai pemandu F1 kini sedar akan tanggungjawab mereka melangkaui litar perlumbaan, yakni dalam usaha membentuk struktur sokongan yang lebih inklusif untuk generasi pelumba F1 seterusnya.


