Akibat krisis kewangan yang melanda pasukan KTM semenjak disahkan syarikat Pierer Mobility pada November lalu, terdapat pelbagai persoalan dan teka-teki mengenai masa depan mereka.
Jenama motosikal terkemuka dunia ini turut menimbulkan kegelisahan orang ramai yang bimbang akan kelibat pelumba kegemaran mereka tidak mampu bertanding untuk MotoGP 2025 dengan keadaan kewangan yang begitu membimbangkan.
Namun, KTM menidakkan desas-desus tersebut dengan menyatakan KTM akan kekal menyertai perlumbaan MotoGP musim 2025 dan turut menjelaskan bahawa penyertaan mereka merupakan salah satu langkah untuk memperbaiki masalah kewangan syarikat itu.
Meskipun sudah dinafikan, namun berita mengenai penyertaan pasukan KTM dalam MotoGP masih dibahas sehingga kini. Yang paling terkini, pasukan itu dilaporkan bakal menarik diri dari menyertai MotoGP bagi musim 2026. Dimaklumkan, keputusan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah penstrukturan semula akibat krisis kewangan yang dihadapi syarikat itu, seperti yang dilaporkan oleh media Austria baru-baru ini.
Walaupun KTM telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka komited untuk terus berlumba di MotoGP pada tahun 2025, syarikat itu masih tidak memberikan kata putus mengenai tahun-tahun berikutnya. Memetik laporan daripada media Der Standard, sekiranya KTM menarik diri lebih awal sebelum tahun 2026, dijangka syarikat itu akan berdepan kerosakan imej dan kredibiliti yang bakal memberi kesan kepada jenama mereka.
Menurut Crash.Net, langkah ini dijangka dapat menjimatkan sehingga €46 juta setiap tahun, seperti yang dicadangkan dalam analisis Boston Consulting Group. Diambil dari temu bual bersama Speedweek media, Ketua Motorsport KTM, Pit Beirer, mendedahkan bahawa KTM telah mengadakan perbincangan serius dengan pengurusan Lewis Hamilton, juara dunia Formula 1 tujuh kali, mengenai pelaburan ke atas pasukan itu.
Hamilton sebelum ini dikaitkan dengan pembelian pasukan Gresini, selain menunjukkan minat untuk melibatkan diri dalam MotoGP di bawah pemilikan Liberty Media. Namun, setakat ini, tiada lagi pengesahan rasmi yang diterima.
Terdahulu, KTM sedang berdepan masalah hutang yang dianggarkan melebihi €3 bilion, menyebabkan syarikat itu terpaksa menjalani pentadbiran kendiri untuk mengelak kebankrapan. Menurut laporan Alpine Creditors Association (AKV), langkah penstrukturan semula ini termasuk rancangan KTM untuk keluar daripada MotoGP selepas tamat kontraknya dengan Dorna Sports pada tahun 2026.
Antara pelumba yang bakal terkena tempias, Brad Binder merupakan pelumba utama pasukan tersebut yang mempunyai kontrak sehingga tahun 2026. Tiga lagi pelumba yang turut berdepan nasib sama, iaitu bintang muda yang semakin meningkat, Pedro Acosta, Enea Bastianini dan Maverick Vinales turut mendatangani kontrak jangka panjang bersama pasukan itu.