Kontroversi GP Madrid: Penduduk Tempatan Suarakan Bantahan

Meskipun Litar Madring menjadi bualan ramai mengenai persiapan sulungnya dalam kalendar Formula 1, rupa-rupanya terdapat kisah duka buat komuniti setempat. Kurang daripada dua minggu menjelang GP Madrid, projek yang bernilai RM388 juta ini kini berdepan tindakan undang-undang serta bantahan keras daripada gabungan penduduk tempatan melalui platform “Stop F1 Madrid”.

Litar Madring ini akan mengikat kontrak bersama F1 sepanjang sembilan tahun sehingga tahun 2035 bermula pada perlumbaan pertamanya pada 13 September nanti. Susun atur litar ini akan mengelilingi Pusat Pameran IFEMA di Madrid dan akan menampilkan selekoh separa bulat sepanjang 0.5km dengan sendeng kecerunan sebanyak 24%.

Isu Pencemaran Bunyi Dan Masalah Trafik

Di sebalik keterujaan ramai, litar Madring ini tidak lari daripada dihimpit kontroversi. Isu berkenaan mula memuncak selepas ujian litar rasmi Formula 3 dijalankan. Hasil ukuran bebas yang dijalankan oleh persatuan penduduk merekodkan tahap pencemaran bunyi mencecah purata 102.7 desibel (dBA) dengan paras puncak setinggi 109.1 dBA di kawasan perumahan berdekatan. Kenaikan ini melepasi had maksimum kawasan kediaman biasa yang ditetapkan sekitar 55 dBA.

Penduduk setempat juga menyuarakan kerisauan mereka terhadap masalah trafik yang bakal berlaku di kawasan Grand Prix apabila mereka mendapat tahu bahawa lebih 90,000 tiket telah terjual untuk hari perlumbaan.

Kebimbangan Projek Yang Tertangguh

Bukan sekadar isu pencemaran bunyi dan alam sekitar, ada juga penduduk yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan di kawasan litar, sama ada keadaan litar benar-benar sesuai untuk melakukan perlumbaan.

Namun, hasil ujian litar rasmi yang dilakukan oleh Formula 3 mendapati operasi teknikal dan keselamatan berfungsi dengan baik.

Pihak Berkuasa Tempatan Beri Jaminan Positif

Pihak berkuasa tempatan Madrid, bagaimanapun, mempertahankan penganjuran ini atas alasan impak ekonomi jangka panjang bandar raya tersebut di peringkat global. Sebagai langkah penyelesaian, pihak penganjur berjanji memasang penghalang bunyi (acoustic barriers) tambahan sebelum perlumbaan rasmi bermula.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related