Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Yamaha kekal tenang, raih mata penting di GP Malaysia

Dua pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartataro dan Alex Rins mengakui berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan mereka di Grand Prix Malaysia meskipun berdepan cuaca panas mencecah 34 darjah celcius.

Mereka turut mengungkapkan kelegaan selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dan kelapan masing-masing meskipun terpaksa berhadapan dengan sedikit kecemasan pada awal perlumbaan.

Perlumbaan pada 3 November itu bermula dengan penuh dramatik apabila Quartararo terlibat dalam insiden yang membabitkan dua pelumba Red Bull KTM Factory, Brad Binder dan Jack Miller di selekoh kedua sehingga bendera merah dikibarkan.

Meskipun mengalami sedikit kecederaan ringan, Quartararo enggan menyerah kalah dan kembali ke pit untuk melakukan permulaan semula di kedudukan ketujuh.

Halangan buat pelumba nombor 20 itu tidak berhenti disitu apabila cubaan memintas untuk mendapatkan kedudukan di hadapan gagal setelah tiga lagi pelumba turut bertarung bagi mendapatkan kedudukan tersebut sekali gus membantutkan usaha pelumba dari Perancis itu.

Beliau terpaksa berpuas hati selepas sekadar menduduki tangga keenam selepas ditinggalkan dengan catatan masa 16.245 saat di belakang pemenang perlumbaan.

Manakala Rins yang bermula dalam keadaan baik, tidak mampu mengekalkan posisinya apabila di pusingan ke-10 segala usaha yang dilakukan untuk merapatkan jurang kedudukan dengan pelumba dihadapan tidak berhasil dan sekadar menempatkan diri di tempat ke-8 selepas ketinggalan 20.611s dari tempat pertama.

Fabio Quartataro:

Saya tidak tahu apa yang berlaku semasa kemalangan di pusingan pembukaan. Saya mengalami perlanggaran kuat dengan Brad Binder atau Jack Miller. Kemudian saya tercampak, dan selepas itu saya tidak begitu ingat apa yang berlaku. Kami semua berada di atas tanah, tetapi saya tidak rasa ia satu kesilapan. Di selekoh perlahan dan ketika menukar arah, memang mudah untuk tersentuh. Perkara sebegini memang boleh berlaku.

Tetapi saya rasa ini adalah hujung minggu perlumbaan yang sangat positif buat kami secara keseluruhan. Kami telah melakukan yang terbaik di aksi kelayakan, Sprint, dan hari perlumbaan. Saya rasa kami sedang menuju ke arah yang betul, dan diharapkan kami dapat membuat peningkatan pada pusingan terakhir nanti.”

Alex Rins:

“Ia adalah Perlumbaan yang baik. Kami juga semakin baik. Dengan kemampuan kami, kami telah membuat peningkatan, dan ini adalah keputusan terbaik saya bersama Yamaha setakat ini. Sejujurnya, sejak Sabtu lagi, saya sudah merasa agak selesa dengan jentera saya namun hanya kurang bernasib baik dengan bendera merah pada perlumbaan kali ini.

Saya melakukan permulaan yang luar biasa dengan bertarung bersama Marc Marquez. Dalam perlumbaan semula, saya cuba memberikan segala-galanya sekali lagi, dan cuba mengawal tayar sebaik mungkin. Namun, kami masih perlu memperbaiki ketahanan tayar, dan saya percaya kami sedang berusaha untuk ke arah yang lebih baik. Jadi lihat sahaja nanti bagaimana prestasi kami di pusingan terakhir. Kami akan cuba memberikan yang terbaik sekali lagi, dan harap kami dapat memperbaiki prestasi.”

Keputusan di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) itu turut menyaksikan Quartararo berada di tempat ke-13 dalam kedudukan keseluruhan dengan 108 mata. Rins pula naik ke kedudukan ke-18 dengan 31 mata. Bagi mata keseluruhan pasukan pula, Monster Energy Yamaha MotoGP naik ke tempat kelapan dalam kejuaraan pasukan dengan 139 mata, manakala Yamaha kekal di tempat ke-4 dalam kejuaraan pengeluar dengan 119 mata.

Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP akan kembali beraksi untuk penutupan musim, yang berpotensi diadakan di Barcelona dari 15 hingga 17 November ini yang masih dalam perbincangan dan akan disahkan oleh Dorna dalam masa terdekat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related