Kehadiran Donald Trump ke Malaysia, peminat MotoGP diminta bertolak awal

Peminat MotoGP yang merancang ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) hujung minggu ini dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, susulan laporan mengenai kemungkinan kesesakan dan penutupan jalan sementara berikutan ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia.

Menurut maklumat penerbangan, Air Force One yang membawa Trump dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 10 pagi pada hari Ahad bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung serentak dengan Grand Prix Malaysia 2025. Perkara itu turut dimaklumkan di Laman X Pegawai Khas Presiden Trump.

Kehadiran pemimpin dunia itu dijangka menyebabkan kawalan keselamatan dan sekatan trafik sementara di beberapa laluan utama sekitar Lembah Klang, termasuk kawasan menuju ke KLIA, Putrajaya dan Sepang.

Orang ramai disarankan berlepas lebih awal pada waktu pagi, terutamanya bagi mereka yang datang dari Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, bagi mengelakkan risiko terperangkap dalam kesesakan.

Pihak berkuasa dijangka mengawal lalu lintas secara berperingkat untuk memberi laluan kepada konvoi rasmi.

Hujung minggu ini menyaksikan dua acara besar bertaraf antarabangsa berlangsung serentak di Malaysia — MotoGP Malaysia 2025 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Dengan kehadiran ribuan pelancong, delegasi antarabangsa, dan peminat sukan dari seluruh dunia, perancangan perjalanan yang bijak dan awal amat penting untuk memastikan pengalaman menonton perlumbaan berjalan lancar dan menyeronokkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related