Kebangkitan luar biasa, Hakim Danish raih podium selepas terjatuh

Jatuh di awal perlumbaan tidak mematahkan semangat juang pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, untuk meraih kedudukan podium dalam Perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Le Mans, Perancis, semalam.

Bermula dari petak pertama, Hakim Danish memulakan perlumbaan dengan cemerlang apabila mendahului saingan di atas litar basah. Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila beliau terlibat dalam insiden bersama pemenang Perlumbaan 1, Brian Uriarte, menyebabkannya terjatuh dari jentera.

Kredit: Red Bull Content Pool (Brian Uriarte and Hakim Danish crash during Race 2 in Le Mans, France)

Enggan mengalah, pelumba kelahiran Terengganu itu bangkit dengan semangat luar biasa apabila kembali menyertai perlumbaan dan akhirnya berjaya menamatkan saingan di tempat kedua.

“Saya fikir peluang podium sudah hilang. Tapi saya gagahkan diri untuk bangkit dan sambung perlumbaan, dan akhirnya dapat tempat kedua ini,” kata Hakim Danish, yang turut mencatat dua keputusan naib juara pada pusingan pembukaan RBMRC di Jerez, Sepanyol.

“Saya rasa saya patut berpuas hati dengan keputusan ini kerana apa yang saya lalui hari ini bukan mudah. Terima kasih kepada semua penaja dan mereka yang sentiasa menyokong saya,” tambahnya.

Keseluruhan perlumbaan dimenangi oleh pelumba Sepanyol, Bernat Fernandez, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Argentina, Marco Morelli.

Kredit: Red Bull Content Pool (Brian Uriarte and Hakim Danish crash during Race 2 in Le Mans, France)

Kemenangan ini turut menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu kembali merampas kedudukan pendahulu keseluruhan saingan RBMRC musim ini apabila berjaya menambah 20 mata hasil keputusan podium sekaligus memperoleh 80 mata, 23 mata mengatasi Fernandez di tempat kedua.

Pusingan ketiga RBMRC dijadual berlangsung di Aragon, Sepanyol pada 7 dan 8 Jun depan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related