Pelumba Aprilia Racing, Marcho Bezzechi menamatkan saingan Grand Prix Malaysia di kedudukan ke-11 dan mengakui bahawa aksi pada hari Ahad merupakan prestasi paling lemah sepanjang hujung minggu perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang.
Menurut Juara GP British itu, sekiranya pasukan berjaya mengekalkan momentum dan prestasi seperti dalam aksi Sabtu, peluang untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok lebih baik pasti dapat direalisasikan.
“Hari ini saya benar-benar berhempas pulas untuk menamatkan perlumbaan. Kami tidak berada pada tahap terbaik dan pilihan strategi kami hari ini hanya membolehkan kami bersaing di kelompok pertengahan.
“Saya bergelut dengan cengkaman tayar dan sukar untuk mengambil selekoh dengan sempurna, menyebabkan saya gagal melakukan pecutan yang diinginkan. Secara jujur, saya juga tidak begitu yakin sepanjang perlumbaan semalam kami tampil baik, tetapi hari ini segalanya agak sukar,” jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran di Sepang, pelumba itu turut membandingkan prestasi pasukannya dengan aksi di Phillip Island minggu lalu.
“Litar Sepang memang unik dan lebih mencabar berbanding Phillip Island. Di Australia, kami tidak menetapkan sebarang sasaran besar, tetapi di sini kami tahu pelarasan jentera perlu berbeza. Secara keseluruhan, ia bukan perlumbaan yang buruk cuma bukan yang terbaik.
“Kami banyak belajar dan menemui perkara baharu, namun masih ada ruang untuk diperbaiki. Jika saya dapat mengekalkan rentak seperti Bastianini atau Di Giannantonio, mungkin keputusan saya hari ini akan lebih baik. Apa pun, saya percaya pasukan sudah melakukan yang terbaik,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menyuarakan rasa kurang senang terhadap insiden kemalangan membabitkan dua pelumba Moto3, Noah Dettwiler dan Jose Antonio Rueda, yang menyebabkan perlumbaan tertangguh sementara waktu.
“Kami tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai apa yang berlaku. Sebagai pelumba, kami juga berhak tahu keadaan sebenar, terutama apabila kami bakal berlumba selepas itu. Melihat dua helikopter perubatan berlepas membuatkan kami agak cemas. Apa yang kami tahu hanyalah pelumba-pelumba tersebut dalam keadaan stabil, tetapi insiden itu memang sangat teruk,” katanya.
Sebelum perlumbaan utama MotoGP, jentera pelumba Moto3, Noah Dettwiler dilaporkan menghadapi masalah teknikal dan bergerak perlahan di selekoh ketiga sebelum Jose Antonio Rueda yang datang dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikalnya. Kedua-dua pelumba terpelanting dan dihantar ke hospital menggunakan helikopter perubatan.
Kemalangan mengerikan itu turut menyebabkan bendera merah dikibarkan dan perlumbaan terpaksa diberhentikan buat sementara waktu dengan jumlah pusingan dikurangkan daripada 15 ke 10.
Pasukan Red Bull KTM Ajo mengesahkan Rueda mengalami gegaran otak teruk dan patah tangan, namun kini sedar dan stabil.
Pada malam Isnin, dalam satu kiriman pasukan CIP Green Power, dimaklumkan Noah Dettwiler berada dalam keadaan stabil tetapi masih kritikal selepas menjalani beberapa pembedahan.
Baca juga:


