Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin, disahkan tidak akan menyertai ujian pramusim di Buriram susulan mengalami kecederaan ketika sesi ujian di Sepang, Malaysia minggu lalu.
Pelumba Aprilia itu ketika ini sedang dalam tempoh pemulihan dan dengan pengumuman tersebut, bermakna pelumba Aprilia itu bakal memulakan musim 2025 dengan hanya melengkapkan 13 pusingan ujian pramusim.
Meskipun pelumba Sepanyol itu dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan, beliau tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra secara dalam talian apabila tidak dapat menghadiri majlis pelancaran rasmi semua pasukan yang berlangsung di Thailand, pada 9 Februari (Ahad).
“Apa khabar Bangkok dan seluruh peminat yang menyaksikan majlis perasmian MotoGP ini. Saya sangat kecewa tidak dapat berada bersama anda semua di situ kerana saya mengalami kecederaan selepas insiden ketika sesi ujian di Malaysia dan saya ketika ini sedang berehat di rumah bagi proses pemulihan. Saya harap saya dapat kembali ke litar dan dapat berlumba secepat yang mungkin di Thailand,” katanya.
Sebelum ini, Martin mengalami dua kemalangan highside dalam beberapa jam pertama sesi di Sepang, kedua-duanya di selekoh 1 dan 2. Insiden kedua lebih teruk, menyebabkan pelumba Sepanyol itu terpelanting ke udara sebelum mengalami retakan pada tangan kanan dan kaki kiri.
Martin telah pulang ke Eropah dan menjalani pembedahan pada tangannya Jumaat lalu, manakala kecederaan di kaki tidak memerlukan rawatan pembedahan. Aprilia mengesahkan bahawa Martin kini berehat di rumahnya di Andorra dan tidak akan mengambil bahagian dalam ujian di Buriram bagi memberi tumpuan kepada pemulihan menjelang perlumbaan pertama musim ini di litar yang sama.
Tempatnya dalam ujian akan digantikan oleh pelumba ujian Aprilia, Lorenzo Savadori.
Perbalahan antara Michellin dan Aprilia
Minggu lalu, turut berlaku beberapa pertikaian antara pihak Aprilia dan Michelin mengenai punca kepada kemalangan yang dialami pelumba Sepanyol itu.
Punca kemalangan Martin telah mencetuskan perdebatan antara Aprilia dan pembekal tayar rasmi, Michelin. Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola, menegaskan bahawa kejadian tersebut berlaku tanpa kesilapan dari pihak pasukan atau pelumba, membayangkan bahawa tayar mungkin menjadi punca utama.

“Ia adalah kemalangan teruk yang berlaku tanpa sebab yang jelas, tiada kesilapan pada jentera dan tiada kesilapan daripada Martin sendiri,” kata Rivola.
Beliau juga menekankan bahawa kedua-dua kemalangan berlaku dengan set tayar yang sama, dengan suhu tayar berada pada tahap normal.
Namun, Pengurus Michelin, Piero Taramasso, menyangkal kenyataan tersebut dengan menjelaskan bahawa suhu dalaman tayar medium yang digunakan Martin adalah lebih rendah berbanding biasa, menyebabkan cengkaman kurang berkesan.
“Ketika Martin keluar dari pit, suhu dalam tayarnya 15 darjah lebih rendah berbanding sesi pertama. Apabila dia terjatuh, suhunya juga 15 darjah lebih rendah berbanding pelumba lain yang menggunakan tayar sama pada masa itu,” jelas Taramasso.
Beliau menambah bahawa keadaan trek yang licin, berangin dan suhu yang lebih sejuk dari biasa turut menjadi faktor penyebab kemalangan tersebut.
Bagaimanapun, Rivola menolak kesimpulan itu dan menggesa perbincangan antara semua pasukan bagi memastikan keselamatan pelumba sentiasa menjadi keutamaan.
Selain Martin, dua lagi pelumba turut mengalami kecederaan di Sepang dengan Fabio di Giannantonio (tulang selangka patah) dan Raul Fernandez (retakan pada tulang metakarpal tangan kiri). Di Giannantonio dijangka terlepas ujian Buriram pada 12-13 Februari, manakala Fernandez berkemungkinan kembali ke trek lebih awal daripada jangkaan.
Sementara itu, musim MotoGP 2025 akan bermula dengan sesi latihan sebelum aksi pembukaan perlumbaans secara rasmi membuka tirainya pada 28 Februari di Buriram.
Baca juga :


