GP Catalunya: Medan perlumbaan paling epik dalam sejarah

Circuit de Barcelona-Catalunya sememangnya antara lokasi paling ikonik dalam kalendar MotoGP. Litar yang terkenal dengan aksi dramatik, pertarungan sengit dan penentuan kemenangan di selekoh terakhir itu telah menghadiahkan pelbagai momen klasik yang masih dikenang peminat sehingga hari ini.

Daripada persaingan legenda Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Marc Marquez hinggalah kemenangan emosional Alex Marquez musim lalu, GP Catalunya sentiasa menjanjikan aksi luar biasa.

2004: Rossi tewaskan Gibernau dalam pertarungan sengit

Musim pertama Valentino Rossi bersama Yamaha terus mencipta sejarah apabila beliau menewaskan Sete Gibernau selepas pertarungan hebat dalam beberapa pusingan terakhir. Kedua-dua pelumba saling memintas sebelum Rossi menang dengan kelebihan hanya 0.159 saat.

2007: Stoner, Rossi dan Pedrosa berentap

Tiga nama besar Casey Stoner, Valentino Rossi dan Dani Pedrosa mencipta sejarah menjadi apabila perlumbaan melibatkan ketiga-tiga individu besar itu direkodkan sebagai perlumbaan terbaik di Catalunya. Rossi cuba melakukan serangan di selekoh terakhir, namun Stoner berjaya mempertahankan kedudukan untuk meraih kemenangan keempat musim itu.

2009: Perlumbaan paling epik dalam sejarah MotoGP

Ramai menganggap aksi Valentino Rossi menentang Jorge Lorenzo pada 2009 sebagai perlumbaan terbaik dalam sejarah MotoGP. Pertarungan mereka berlarutan hingga selekoh terakhir sebelum Rossi melakukan pintasan legenda yang dianggap mustahil untuk merampas kemenangan.

Momen itu kekal menjadi antara aksi paling diingati dalam dunia perlumbaan motosikal.

2014: “Fantastic Four” hiburkan peminat

Marc Marquez, Dani Pedrosa, Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo menyajikan pertarungan empat penjuru penuh dramatik. Dua jentera Honda menentang dua Yamaha dalam perlumbaan yang penuh aksi sehingga pusingan terakhir sebelum Marquez muncul pemenang.

2016: Rossi vs Marquez dan jabat tangan bersejarah

Perlumbaan 2016 menjadi perhatian kerana ia merupakan pertarungan pertama Rossi dan Marquez sejak kontroversi Sepang 2015. Rossi berjaya menewaskan Marquez, namun apa yang lebih mencuri tumpuan ialah jabat tangan antara kedua-dua pelumba di Parc Ferme yang dianggap simbol perdamaian mereka.

Antara momen lain yang turut dikenang

Catalunya juga menyaksikan Ducati meraih kemenangan pertama MotoGP menerusi Loris Capirossi pada 2003, selain insiden terkenal Jorge Lorenzo yang melanggar Valentino Rossi, Andrea Dovizioso dan Maverick Viñales pada 2019.

Pada 2020 pula, Fabio Quartararo meraih kemenangan sulung MotoGP di litar ini dalam perlumbaan penuh tekanan hingga ke penghujung aksi.

Musim lalu, Alex Marquez turut mencipta kenangan manis apabila menewaskan abangnya Marc Marquez dalam perlumbaan dramatik dengan hanya 1.740 saat memisahkan kedua-duanya di garisan penamat.

GP Catalunya sekali lagi dijangka menjanjikan aksi menarik hujung minggu ini apabila pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi dan Jorge Martin, cuba meneruskan momentum cemerlang mereka di litar penuh sejarah itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related