Analisis Michelin: Kemalangan Jorge Martin bukan dari kecacatan tayar

Ujian pramusim MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menyaksikan detik dramatik apabila juara dunia MotoGP, Jorge Martin, mengalami kemalangan di Selekoh 2 dalam insiden highside pada hari pertama sesi ujian pramusim. Kemalangan ini, yang merupakan insiden kedua dalam sesi itu selepas insiden pertama di Selekoh 1, menimbulkan kebimbangan mengenai prestasi tayar.

Namun, selepas analisis data yang terperinci, Michelin melalui pengurus tayarnya, Piero Taramasso, mengesahkan bahawa suhu dalaman tayar yang rendah merupakan faktor utama dalam insiden tersebut dan bukannya berpunca daripada masalah atau kecacatan tayar.

Dalam sesi temu bual bersama GPOne pada 6 Februari 2025, Taramasso memberikan kenyataan rasmi, menegaskan bahawa tayar yang digunakan oleh Martin tidak mengalami sebarang masalah teknikal dan telah melalui proses penyimpanan serta kawalan suhu yang betul sebelum digunakan dalam ujian.

“Kami yakin tayar tersebut tidak mempunyai sebarang kecacatan. Martin menggunakan tayar ini tanpa sebarang isu sebelum kemalangan berlaku, dan dia mencatat masa yang pantas.”

Kenyataan ini menepis dakwaan bahawa kemalangan itu berpunca daripada masalah kualiti tayar. Sebaliknya, faktor seperti keadaan trek yang sejuk, suhu dalaman tayar yang rendah, dan pemilihan tayar yang kurang sesuai untuk kondisi tersebut menjadi penyebab utama.

Kemalangan Jorge Martin: Apa yang Berlaku?

Jorge Martin hilang kawalan di Selekoh 2, salah satu selekoh kiri yang perlahan di Litar Sepang. Insiden highside ini menyebabkan Martin tercampak dari jentera dalam keadaan yang cukup mengerikan.

Akibat kemalangan ini, Martin mengalami retak pada tangan kanan dan kaki kiri, yang memerlukan pembedahan. Martin terus dibawa ke pusat perubatan litar sebelum dipindahkan ke sebuah hospital di Nilai, Negeri Sembilan. Selepas bermalam di hospital untuk pemantauan, Martin pulang ke Eropah untuk menjalani prosedur pembedahan lanjut, sekali gus meletakkan penyertaannya dalam ujiana pramusim dan perlumbaan di Thailand dalam keadaan tidak pasti.

Analisis Michelin & Penemuan Data

Selepaas kemalangan Martin, Aprilia pada mulanya mengesyaki isu berkaitan tayar, namun selepas menjalankan analisis penuh, Michelin mendapati bahawa:

  • Suhu dalaman lapisan tayar Martin adalah 15 darjah lebih rendah daripada yang dijangkakan ketika keluar dari pit.
  • Suhu tayar belakangnya juga 15 darjah lebih rendah daripada Marco Bezzecchi, walaupun menggunakan jentera dan tayar yang sama.
  • Keadaan litar lebih sejuk daripada kebiasaan (30°C), licin dan berangin, serta hujan yang turun pada malam sebelumnya menambahkan lagi cabaran.

Dalam sesi sidang media hari ini Taramasso menjelaskan:

“Kami telah menganalisis semua data. Kesimpulannya jelas: Jorge, apabila dia meninggalkan pit sebelum kemalangan, suhu tayarnya 15 darjah lebih rendah daripada yang dijangkakan. Pada saat kemalangan, suhu tayar belakangnya juga 15 darjah lebih rendah daripada Marco Bezzecchi. Dengan keadaan trek yang sejuk, angin yang kuat, dan hujan pada waktu malam, ini adalah kombinasi yang menyebabkan insiden ini berlaku.”

Memahami Suhu Tayar: Lebih Daripada Sekadar Permukaan

Taramasso turut menjelaskan bahawa prestasi tayar dipengaruhi oleh pelbagai bacaan suhu, bukan hanya suhu luaran:

  1. Suhu Permukaan – Berubah dengan cepat bergantung pada gelinciran dan keadaan litar, tetapi tidak semestinya mencerminkan kesediaan tayar sebenar.
  2. Suhu Lapisan Dalam – Faktor paling penting dalam menentukan cengkaman dan kestabilan tayar, diukur menggunakan sensor McLaren.
  3. Suhu Rongga – Suhu udara dalam tayar, yang sering dipantau secara langsung di garaj.

Dalam kes Martin, walaupun suhu permukaan tayar kelihatan normal, suhu lapisan dalamnya terlalu sejuk, yang menyebabkan cengkaman berkurang dan akhirnya mengakibatkan kemalangan.

Tuduhan Awal Aprilia vs. Penemuan Michelin

Pada awalnya, Aprilia menyalahkan kemungkinan kecacatan tayar atau masalah penghantaran, namun data Michelin menafikan dakwaan tersebut.

Taramasso menegaskan:

“Apa yang kami tunjukkan bukanlah sekadar pendapat saya atau pendapat anda. Ini adalah fakta berdasarkan data. Dan data ini jelas.”

Selepas meneliti laporan Michelin, Aprilia akhirnya menerima keputusan, mengakui bahawa kemalangan itu berpunca daripada suhu dalaman tayar yang rendah dan keadaan trek yang sejuk, bukan kecacatan tayar.

Isu Kelewatan Kenyataan Michelin

Satu lagi isu yang dibangkitkan ketika sesi sidang media adalah mengapa Michelin tidak segera mengeluarkan kenyataan, sedangkan Aprilia sudah lebih awal menyalahkan tayar sebagai punca insiden.

Menjelaskan perkara ini, Taramasso menyatakan bahawa keputusan perlu dibuat berdasarkan bukti yang kukuh:

“Kami memerlukan masa untuk menganalisis semua data sebelum bercakap.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related