Jorge Martin mahu pulihkan fizikal, sertai La Purito

Juara dunia MotoGP2024, Jorge Martin, memanfaatkan cuti musim panasnya dengan menyertai cabaran berbasikal La Purito di Andorra sebagai sebahagian daripada rutin latihan fizikalnya.

Pelumba pasukan kilang Aprilia itu sememangnya terkenal sebagai peminat tegar sukan berbasikal dan sering melakukan kayuhan mencabar di sekitar Andorra bagi meningkatkan tahap kecergasannya bagi mempersiapkan diri untuk bersaing bagi aksi MotoGP.

Disebabkan musim 2025 yang terjejas akibat beberapa insiden kecederaan, Martin sebelum ini menyatakan kepada pihak media, dengan menyatakan bahawa selepas aksi Grand Prix Czech beliau tidak akan bercuti sebaliknya bakal memberi tumpuan penuh terhadap persiapan fizikal.

Pada hujung minggu lalu, pelumba Sepanyol itu berjaya menamatkan cabaran La Purito dengan menempuh jarak sejauh 111.59 kilometer pada purata kelajuan 20.7 km/j, mengambil masa lima jam, 24 minit dan 13 saat iaitu 40 minit lebih pantas berbanding pencapaiannya sebelum ini, menurut hantaran di media sosialnya.

Martin baru sahaja membuat kemunculan semula di litar perlumbaan semasa GP Czech, setelah berehat panjang sejak mengalami kemalangan ngeri di GP Qatar April lalu. Insiden di Lusail itu menyebabkan beliau mengalami patah tulang rusuk dan paru-paru bocor, dan pada satu ketika ketika di hospital, beliau sendiri tidak pasti sama ada masih mampu kembali berlumba.

Dalam tempoh pemulihan itu, Martin menjadi tumpuan apabila cuba mengaktifkan klausa keluar dari kontraknya bersama Aprilia pada hujung musim 2025 atas alasan prestasi. Namun, Aprilia menolak tuntutan tersebut dengan alasan Martin hanya menyertai satu perlumbaan bersama jentera RS-GP musim ini, menjadikan klausa itu tidak sah.

Perkara itu mencetuskan ketegangan antara kedua-dua pihak, terutamanya selepas GP Perancis dan ianya berlanjutan sehingga GP Belanda. Pengurusnya, Albert Valera, mendakwa Martin sudah “bebas kontrak” untuk musim 2026, namun Aprilia menafikan perkara itu dan dilaporkan bersedia mengambil tindakan undang-undang.

Namun, sebelum bermulanya GP Czech, kontroversi itu akhirnya berakhir apabila Martin mengesahkan bahawa beliau akan kekal bersama Aprilia hingga musim 2026. Katanya, kecederaan yang dialami di Qatar mempengaruhi banyak keputusannya ketika itu, namun beliau tidak menyesal kerana yakin telah melakukan yang terbaik untuk masa depannya.

Di Brno, Martin menamatkan sesi kelayakan di tempat ke-12 dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh satu permulaan kukuh bagi separuh kedua musim ini. Pihak Aprilia optimis bahawa Martin mampu kembali merebut podium dalam 10 pusingan terakhir musim 2025.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related