Aksi cemerlang yang dipamerkan Jorge Martin atau lebih dikenali sebagai ‘Martinator’ berjaya untuk meletakkan beliau sebagai juara perlumbaan Sprint GP Perancis di Le Mans selepas mendominasi perlumbaan dari awal hingga garisan penamat pada Sabtu.
Pelumba Aprilia Racing itu bermula dari petak kelapan namun melakukan permulaan luar biasa apabila berjaya merampas kedudukan pendahulu seawal selekoh keempat selepas memotong rakan sepasukannya Marco Bezzecchi serta Francesco Bagnaia di selekoh ketiga.
Bagnaia yang bermula dari petak utama pula berada di kedudukan ketiga pada awal perlumbaan, manakala hero tuan rumah Fabio Quartararo naik ke tempat keempat.
Pada pusingan ketiga, Bezzecchi melakukan kesilapan kecil di selekoh ketujuh yang membuka ruang buat Bagnaia memintas pelumba Itali itu untuk mengambil alih kedudukan kedua.
Sementara itu, Martin terus selesa di hadapan apabila membuka jurang lebih satu saat ke atas Bagnaia dan mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta pula mempamerkan aksi agresif untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas berjaya memintas beberapa pelumba pada awal saingan.
Di hadapan, Martin berjaya menamatkan perlumbaan dengan selesa untuk meraih kemenangan Sprint keduanya musim ini. Bagnaia menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Bezzecchi melengkapkan podium di tempat ketiga.
Quartararo turut menggembirakan penyokong tuan rumah apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima selepas aksi konsisten sepanjang 13 pusingan.
Joan Mir menamatkan perlumbaan di tempat keenam diikuti Ai Ogura di tempat ketujuh, Alex Márquez di tempat kelapan dan rookie Diogo Moreira di tempat kesembilan untuk meraih mata Sprint pertamanya dalam MotoGP.


