Fabio Quartararo secara rasmi disahkan akan menyertai Honda HRC bermula musim MotoGP 2027, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya yang hangat dibahaskan sepanjang musim ini.
Juara Dunia MotoGP 2021 itu telah menandatangani kontrak selama dua tahun sekaligus menandakan beliau bakal beraksi bersama pasukan kilang Honda bagi musim 2027 dan 2028, bertepatan dengan bermulanya era baharu MotoGP yang menggunakan enjin 850cc.
Pelumba kelahiran Perancis berusia 27 tahun itu mula bersaing dalam kelas premier pada 2019 dan terus mencuri tumpuan pada musim debutnya. Selepas mencipta nama dalam FIM CEV Moto3 International Championship serta mengharungi empat musim kompetitif dalam Moto3 dan Moto2, Quartararo membuktikan potensinya apabila meraih petak utama (pole position) seawal perlumbaan keempat MotoGP.
Pada musim pertamanya di MotoGP, beliau mengumpul enam petak utama dan tujuh podium, sebelum mencipta sejarah dengan menjulang Kejuaraan Dunia MotoGP 2021. Setahun kemudian, Quartararo terus memberikan saingan sengit dan menamatkan musim sebagai naib juara dunia.
Sepanjang kariernya dalam kelas premier, Quartararo telah mengumpulkan 11 kemenangan, 32 podium dan 21 petak utama, menjadikannya antara pelumba paling berjaya dalam era moden MotoGP.
Perpindahan ke Honda membuka lembaran baharu dalam karier “El Diablo”, yang dijangka memainkan peranan penting dalam usaha pengeluar Jepun itu kembali bersaing di kelompok hadapan menjelang pelaksanaan peraturan teknikal baharu pada musim 2027.
Dengan pengalaman sebagai juara dunia serta rekod prestasi yang cemerlang, Quartararo dijangka menjadi tonggak utama Honda dalam membangunkan jentera baharu 850cc dan mengembalikan kegemilangan pasukan itu di pentas MotoGP.


