Pasukan Red Bull KTM Tech3 mengesahkan Jonas Folger akan kembali beraksi dalam MotoGP bagi Grand Prix Perancis di Le Mans minggu ini sebagai pengganti kepada Maverick Viñales yang masih dalam proses pemulihan kecederaan bahu kiri.
Susulan itu, Tech3 memilih Folger untuk melengkapkan barisan dua pelumba bersama Enea Bastianini di Le Mans.
Pelumba Jerman berusia 32 tahun itu bukan nama asing buat Tech3 kerana kesemua 19 penampilan MotoGP beliau sebelum ini hadir bersama pasukan tersebut. Antara pencapaian terbaik Folger ialah podium tempat kedua di Sachsenring pada musim 2017 di hadapan penyokong sendiri. Kali terakhir beliau berlumba dalam MotoGP adalah pada Grand Prix Belanda 2023 di Assen sebagai pelumba gantian untuk Pol Espargaro.
Folger mengakui cabaran besar menantinya selepas lama meninggalkan perlumbaan kompetitif, namun teruja dapat kembali bersama pasukan yang pernah menjadi sebahagian penting dalam kariernya.
“Saya ingin mengucapkan semoga Maverick cepat sembuh. Secara peribadi, saya sangat teruja dapat kembali bersama semua kru Tech3 kerana saya mempunyai sejarah istimewa bersama pasukan ini.
“Le Mans pasti menjadi cabaran besar selepas bertahun tidak berlumba. Saya perlu menyesuaikan diri dengan pantas dan belajar banyak perkara sepanjang hujung minggu perlumbaan nanti. Ia bukan mudah, tetapi saya tidak sabar untuk kembali menunggang,” katanya.
Dalam masa sama, Viñales menjelaskan beliau sebenarnya menyasarkan GP Perancis sebagai perlumbaan untuk kembali beraksi, namun nasihat perubatan memaksanya menunggu lebih lama.
“Saya bekerja keras sejak menjalani pembedahan dan Le Mans sentiasa menjadi sasaran untuk kembali berlumba. Tetapi selepas pemeriksaan di APC minggu ini, saya dimaklumkan bahawa saya masih belum cukup kuat untuk kembali menunggang motosikal.
“Sudah tentu saya kecewa, tetapi kembali dalam keadaan benar-benar cergas adalah perkara paling penting,” jelas Viñales.
Pengarah KTM Motorsport, Pit Beirer, turut menyatakan keputusan itu dibuat demi kebaikan jangka panjang pelumba tersebut.
“Ini bukan keputusan mudah untuk Maverick, tetapi kami memahami keinginannya untuk kembali hanya apabila benar-benar bersedia. Dia cuma memerlukan sedikit lagi masa.Kami juga berterima kasih kepada Jonas kerana sanggup menerima cabaran ini.
MotoGP sekarang sangat kompetitif dan kompleks untuk para pelumba, jadi kami menghormati kesediaannya untuk kembali,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Tech3, Nicolas Goyon percaya kehadiran Folger memberi suntikan positif kepada pasukan menjelang perlumbaan di laman sendiri.
“Kami sentiasa meletakkan kesihatan Maverick sebagai keutamaan. Walaupun kecewa dia tidak dapat bersama kami di perlumbaan sendiri, kami menghormati keputusan itu.
“Adalah sesuatu yang positif untuk melihat dua motosikal kembali berada di litar dan menyambut semula Jonas ke Tech3. Selepas ujian di Jerez, Enea juga menunjukkan perkembangan yang baik dan semakin yakin dengan jenteranya,” ujar Goyon.
Viñales sebelum ini menjalani pembedahan bahu dan dilaporkan menunjukkan perkembangan positif, namun pusingan kelima musim 2026 hadir terlalu awal buat pelumba Sepanyol itu untuk kembali berlumba.
Selepas menjalani pemeriksaan di Red Bull Athlete Performance Centre (APC), Viñales bersama pasukan memutuskan untuk menangguhkan kepulangannya demi memastikan beliau benar-benar cergas sebelum kembali menunggang jentera KTM RC16.


