Spekulasi mengenai masa depan Johann Zarco bersama Honda Racing Corporation (HRC) semakin hangat diperkatakan selepas muncul laporan mengenai perjanjian baharu antara juara dunia Moto2 dua kali itu bersama pasukan pengeluar Jepun tersebut.
Dijangka jika rundingan antara kedua-dua pihak berjalan lancar, kerjasama antara Zarco dan HRC mungkin menjadi antara elemen penting dalam misi kebangkitan Honda menjelang perubahan peraturan MotoGP 2027 yang akan memperkenalkan jentera 850cc.
Dengan pengalaman luas, kebolehan teknikal dan semangat juang tinggi, Zarco diyakini mampu menjadi pemangkin kejayaan baharu buat Honda.
Zarco, yang ketika ini mencatat kedudukan lebih baik dalam carta kejuaraan berbanding penunggang HRC lain, dilihat sebagai aset penting dalam usaha HRC bangkit semula di kelas premier MotoGP.
Pelumba Perancis itu memiliki latar belakang yang cukup cemerlang. Zarco mula dikenali selepas muncul juara Red Bull Rookies Cup dan kemudiannya menyertai Kejuaraan Dunia 125cc pada 2009. Beliau muncul naib juara pada 2011 bersama pasukan Aki Ajo sebelum berhijrah ke kelas Moto2.
Selepas tiga tahun dan enam podium, Zarco kembali menyertai pasukan Ajo dan mencipta sejarah sebagai juara dunia Moto2 pada 2015. Kejayaannya mempertahankan gelaran itu pada 2016 menjadikan beliau pelumba pertama yang berjaya menjuarai Moto2 dua kali berturut-turut sejak kelas itu diperkenalkan pada tahun 2010.
Zarco juga mencatat sejarah sebagai rakyat Perancis pertama yang memenangi lebih daripada satu kejuaraan dunia. Beliau melangkah ke MotoGP pada 2017 dan mencipta impak segera bersama Monster Yamaha Tech 3 dengan tiga podium dan dua petak utama dalam musim sulungnya. Selepas terus mencatat prestasi konsisten pada 2018, beliau menyertai pasukan pengeluar KTM pada 2019 tetapi menamatkan kontraknya lebih awal berikutan musim yang penuh cabaran.

Menjelang penghujung 2019, Zarco menjadi ejen bebas dan tampil bersama LCR Honda menggantikan Takaaki Nakagami sebelum menyertai Esponsorama Racing untuk musim 2020. Penampilan cemerlang bersama Ducati menyaksikan beliau naik ke podium di GP Republik Czech dan kemudiannya dinaikkan ke pasukan Pramac Racing pada 2021. Walaupun memulakan musim dengan cemerlang, masalah ‘arm pump’ mengganggu prestasinya dan beliau menamatkan musim di tempat kelima.
Musim 2022 menyaksikan Zarco masih kekal bersama Pramac tetapi kemenangan pertama dalam kelas premier masih belum kunjung tiba walaupun konsisten dengan empat podium dan dua petak utama. Statistik itu akhirnya berubah pada 2023 apabila Zarco menjuarai Grand Prix Australia di Phillip Island, sekaligus menamatkan penantian panjangnya untuk muncul juara MotoGP.
Tahun 2024 membawa cabaran baharu buat Zarco apabila beliau berpindah ke CASTROL Honda LCR. Musim sulung bersama Honda disifatkan berjaya selepas beliau muncul sebagai pelumba HRC terbaik dalam kedudukan kejuaraan. Zarco terus mengekalkan momentum tersebut pada 2025 bersama skuad yang sama.


