Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Jaime Busto rangkul trofi X Trial Estonia dengan penuh gaya

Pelumba GASGAS Factory Racing, Jaime Busto, telah berjaya merangkul trofi pusingan kedua terakhir Kejohanan Dunia X-Trial Federation Internationale de Motocyclisme (FIM) 2024 di Estonia pagi tadi (waktu tempatan).

Dalam persaingan yang amat sengit di Unibet Arena, Tallinn, Pelumba berusia 26 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang bagi meraih kemenangan keseluruhan pada pusingan keenam dengan tunggangan yang meyakinkan.

Pembukaan perlumbaan, Jaime hanya mendapat lima penalti pada bahagian yang begitu mencabar sebelum menamatkan pusingan dengan keputusan seri bersama Toni Bou dan Gabriel Marcelli.

Bersambung pada pusingan kedua, meskipun trek tidak begitu mencabar dari segi teknikal, kesukarannya terletak pada skor rendah dan kesilapan yang minimal oleh pesaing Jaime. Namun, itu bukan penghalang untuk pelumba TXT GP 300 ini kekal tampil dengan aksi cemerlang untuk memperoleh tempat berharga di pentas final.

Dengan keyakinan dan momentum yang dibawa ke final tiga pelumba, Jaime membuktikan kemahiran dan pengalamannya di atas trek teknikal sebelum meraih kemenangan selepas menerima hanya lima markah berbanding enam oleh Gabriel Marcelli.

Kemenangan ini merupakan pencapaian terbaik Jaime dalam siri X-Trial 2024 menuju ke pusingan kedua terakhir musim ini selepas meraih 21 mata berharga untuk menjurangkan kedudukan dengan Marcelli sebanyak enam mata dalam kedudukan Kejohanan Dunia.

Kejohanan Dunia X-Trial FIM 2024 dijadualkan berakhir dalam masa tiga minggu lagi bertempat di Pamplona, Sepanyol yang juga merupakan tempat kelahiran Jaime.

Jaime Busto:

“Hari ini memang amat luar biasa! Dari permulaan perlumbaan lagi saya merasa selesa dengan motosikal, dan masuk pusingan kedua saya sangat gembira dapat menunjukkan aksi yang kemas kerana jurang markah sudah amat rapat. Ketika memasuki lap terakhir, saya tahu saya tidak boleh melakukan banyak kesilapan.

Untuk menang memang sesuatu yang luar biasa, dan saya sangat gembira dengan motosikal saya pada perlawanan kali ini dan kemenangan ini amat bermakna buat kami sebagai satu pasukan. Saya tak sabar untuk aksi akhir di Sepanyol nanti!”

Keputusan – Kejohanan Dunia X-Trial 2024, Pusingan 6

  1. Jaime Busto (GASGAS) – 5 markah final
  2. Gabriel Marcelli (Montesa) – 6 markah final
  3. Benoit Bincaz (Sherco) – 12 markah final

Kedudukan Kejohanan Dunia X-Trial 2024 (selepas pusingan 6)

  1. Toni Bou (Montesa) – 116 mata
  2. Jaime Busto (GASGAS) – 89 mata
  3. Gabriel Marcelli (Montesa) – 83 mata

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related