Pelumba Moto3, Jacob Roulstone, dilaporkan mengalami patah tulang leher selepas terlibat dalam kemalangan ketika sesi latihan baru-baru ini.
Pelumba muda dari Australia itu sedang membuat persiapan bagi musim penuh keduanya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 bersama pasukan Tech3, yang telah memperbaharui kontraknya untuk musim 2025.
Kemalangan tersebut menyebabkan C3 vertebra di leher Roulstone patah dan bergeser.Kemudian, beliau telah dikejarkan ke hospital di Jerez, Sepanyol sebelum dipindahkan ke Barcelona untuk rawatan lanjut.
“Jumaat lalu, saya mengalami kemalangan ketika sesi latihan di Jerez yang menyebabkan C3 vertebra saya patah dan bergeser,” tulis Roulstone di Instagramnya.
“Selepas tiga malam di hospital Jerez, saya bernasib baik dapat diterbangkan secara perubatan ke Barcelona semalam (20 Januari) dan kini berada di tangan terbaik untuk menjalani pembedahan dalam satu atau dua hari lagi.
“Ia sangat mengecewakan kerana ini berlaku selepas sesi pramusim yang sangat baik, tetapi kini fokus saya adalah untuk pulih dengan cepat dan selamat supaya dapat kembali ke trek.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Xavi Arenas yang sentiasa berada di sisi saya dan membantu menguruskan segala-galanya, serta kakitangan perubatan yang terlibat,” jelasnya.
Roulstone dilaporkan dalam persediaan untuk menghadapi musim keduanya di Moto3 sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut. Namun, sehingga kini, tiada garis masa yang tetap untuk tempoh pemulihannya dan penglibatannya ke perlumbaan pembukaan masih tidak diketahui.
Pusingan pertama Kejuaraan Dunia Moto3 2025 dijadualkan berlangsung pada 28 Februari hingga 2 Mac di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.


