Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Jack Miller lega terselamat: Insiden ngeri di GP Malaysia

Aksi mendebarkan berlaku di selekoh dua MotoGP Malaysia baru-baru ini apabila tiga pelumba – Jack Miller dan Brad Binder dari pasukan Redbull KTM serta Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha – terlibat dalam kemalangan besar di selekoh dua Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang. Insiden dramatik ini menyebabkan perlumbaan dihentikan sementara dengan pengibaran bendera merah sejurus selepas perlumbaan bermula.

Pelumba Australia, Jack Miller, mengakui bahawa beliau menarik nafas lega kerana masih mampu berjalan selepas kemalangan tersebut. Beliau memuat naik gambar insiden itu di akaun Instagramnya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan mesej sokongan dan kepada Alpinestars kerana memastikan keselamatannya.

Miller menulis di Instagramnya, “Saya bernasib baik kerana selamat daripada ini (kemalangan) hari ini, terima kasih kepada semua atas semua kiriman mesej. Terima kasih kepada Alpinestars kerana memastikan saya selamat.”

Dalam insiden tersebut, kepala Miller kelihatan terhentak pada bahagian belakang jentera Quartararo, memaksa beliau menerima rawatan segera di litar sebelum dibawa ke pusat perubatan. Namun, kecederaannya disahkan tidak serius.

Pelumba pasukan HRC, Joan Mir, yang turut terlibat dalam insiden itu, menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan Miller. Ketika pertembungan berlaku, Mir tidak sempat mengelak dan secara tidak sengaja terlanggar kaki Miller. “Sejujurnya saya sangat risau,” kata Mir.

“Pada permulaan pertama, saya membuat permulaan yang sangat baik, saya berjaya memintas banyak posisi di selekoh pertama. Saya berada di sekitar 10 teratas, jadi jika saya boleh memintas lagi di selekoh kedua, saya mungkin berada di kedudukan yang sangat baik, tetapi kemudian saya bertembung dengan pelanggaran Fabio dan Miller, dan saya melanggar Miller.”

Kerisauan Mir bertambah apabila beliau melihat ambulans di litar. “Kemudian apabila saya melihat ambulans dan semua peralatan, saya sangat risau kerana saya tidak tahu keadaannya, kerana saya melanggar kakinya. Saya risau tentang dia,” katanya lagi. Beliau kemudiannya pergi ke garaj Miller untuk memastikan keadaan rakannya itu.

“Tetapi kemudian saya pergi ke tempatnya (garaj) dan dia berkata ‘Saya baik-baik saja, saya baik-baik saja, saya hanya ada lebam di sini pada kaki saya.’ Tetapi saya memang risau.”

Selepas kemalangan tersebut, perlumbaan disambung semula tanpa penyertaan Miller yang masih mendapatkan rawatan. Rakan sepasukan, Brad Binder, cuba meneruskan perlumbaan namun terpaksa menarik diri apabila merasai kesakitan di bahu kirinya. Sementara itu, Quartararo yang turut terlibat dalam kemalangan berjaya mengakhiri perlumbaan di kedudukan keenam.

Perlumbaan MotoGP Malaysia 2024 menyaksikan Juara Dunia 2023, Francesco Bagnaia, merangkul trofi di tempat pertama, diikuti pencabar utamanya dari Sepanyol, Jorge Martin, di tempat kedua, dan Enea Bastianini di tempat ketiga.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related