Izan Guevara cipta sejarah tersendiri apabila meraih pole position sulung dalam kelas Moto2 selepas mencatat rekod baharu sepusingan terpantas sepanjang zaman di Le Mans.
Pelumba BLU CRU Pramac Yamaha Moto2 itu mencatat masa 1 minit 33.910 saat untuk menamatkan sesi kelayakan di kedudukan teratas, sekali gus mengatasi pencabar terdekatnya dengan kelebihan tipis 0.086 saat.
Daniel Holgado dari CFMOTO Inde Aspar Team akan memulakan perlumbaan di petak kedua selepas turut mempamerkan aksi konsisten sepanjang sesi kelayakan.
Sementara itu, Filip Salač bangkit daripada aksi sukar pada Sabtu untuk melengkapkan barisan hadapan di petak ketiga. Pelumba OnlyFans American Racing Team itu sebelum ini berdepan masalah teknikal serta kemalangan besar pada sesi latihan.
Barisan kedua pula diketuai Barry Baltus dari REDS Fantic Racing yang menunjukkan kepantasan memberangsangkan sepanjang hujung minggu perlumbaan. Namun, Baltus mengalami kemalangan di selekoh keenam ketika sesi Q2 sebelum dibawa ke pusat perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
Pendahulu kejuaraan dunia, Manuel Gonzalez dari Liqui Moly Dynavolt Intact GP berjaya memperbaiki catatan pada saat akhir untuk melonjak ke petak kelima selepas berada di luar kelompok 10 terbaik sebelum itu.
Joe Roberts pula mencatat keputusan kelayakan terbaiknya musim ini apabila mengesahkan tempat keenam.
Walaupun masih bergelut dengan kecederaan, David Alonso berjaya melepasi sesi Q1 sebelum menamatkan kelayakan di petak ketujuh.
Dalam masa sama, pemenang dua perlumbaan Moto2 berturut-turut, Senna Agius terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-11 walaupun hanya dipisahkan 0.283 saat daripada catatan pole position.
Perlumbaan Moto2 GP Perancis dijadual berlangsung pada Ahad jam 6:15 petang waktu Malaysia di Le Mans.


